
KUALA LUMPUR, 8 Jul 25 – Dasar sifar peniaga kecil oleh pihak berkuasa tempatan Majlis Perbandaran Sepang bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang bertujuan memperkasa umat Melayu dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
Ketua Penerangan Putra Selangor Mohamed Shahrin Ismail menegaskan, dasar itu menzalimi rakyat di bawah, khususnya mereka berpendapatan rendah dan B40.
“Dasar yang baik bukan hanya pada keindahan fizikal bandar, tetapi pada kesejahteraan insan yang mendiami dan menghidupkannya,” katanya, dalam satu kenyataan.
Putra sehubungan itu mencadangkan PBT berkenaan mengeluarkan lesen sementara kepada peniaga kecil berserta garis panduan operasi yang jelas dan berhemah.
PBT juga disaran menyediakan kiosk serbaguna disediakan di lokasi tumpuan pelanggan, agar penempatan peniaga tersusun dan tidak mengganggu landskap bandar.
“Ini membolehkan prinsip pembangunan mampan dan peluang ekonomi bergerak seiring,” katanya.
Putra juga katanya menyokong penubuhan Persatuan Peniaga Cyberjaya yang akan menjadi wadah perjuangan rakyat bawahan yang selama ini terpinggir dari meja rundingan.
“Kami percaya, bila suara rakyat diberi ruang, dasar yang terbentuk lebih adil dan berpaksikan kebenaran,” tambahnya.
Perkara 153 bukan sekadar peruntukan undang-undang dan menutup peluang berniaga secara sewenang-wenangnya adalah pengkhianatan kepada amanah tersebut, tegasnya.
“Putra tegas menyatakan setiap dasar mesti dilihat dalam kerangka keadilan sejarah, realiti semasa dan hala tuju pembinaan bangsa yang bermaruah.” @politiko.my