Peguam Persoal Retorik ‘Sakau’ Dalam Ucapan PMX

KUALA LUMPUR, 19 Okt 25 – Peguam Rafique Rashid mempersoalkan naratif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekali lagi menekankan isu “wang rakyat disakau” dalam ucapannya sempena sambutan Deepavali baru-baru ini.

Dalam kenyataan di media sosail facebook, Rafique menyifatkan ucapan tersebut mengulangi retorik lama tanpa pendedahan jelas mengenai pihak sebenar yang terlibat dalam penyelewengan dana negara.

“Perdana Menteri menyebut rampasan dan pulangan RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun pentadbirannya. Itu baik, rakyat sokong usaha membanteras rasuah. Tetapi naratif lesu ini disambung dengan tuduhan umum terhadap pimpinan politik kononnya ‘sakau’ dan memiliki harta di Australia dan London,” katanya.

Menurut Rafique, angka RM15.5 bilion yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026 turut disambut tepukan gemuruh di Dewan Rakyat, namun beliau menyoal mengapa kerajaan tidak menamakan individu atau entiti yang dikaitkan dengan hasil rampasan tersebut.

“Saya ingin bertanya – dari siapa wang ini dirampas? Mengapa tidak namakan? Kalau ada bukti atau kotak-kotak seperti dahulu, tunjukkan,” katanya sinis.

Rafique turut menimbulkan persoalan tentang konsistensi pendirian Perdana Menteri, termasuk pelantikan pemimpin yang pernah dikaitkan dengan kes mahkamah, serta hubungan politik dengan individu dan tokoh perniagaan yang didakwa mendapat kelebihan luar biasa sepanjang pentadbiran semasa.

“Bagaimana pula dengan janji hendak tangkap orang kuat SPRM? Atau pelantikan pemimpin yang pernah dipanggil bela diri tetapi kini menjadi Timbalan Perdana Menteri? Ini semua menimbulkan persoalan integriti,” tambahnya.

Menurut Rafique, rakyat berhak mengetahui siapa sebenarnya yang disabit atau disiasat dalam pemulangan semula dana berbilion ringgit itu, agar usaha melawan rasuah tidak hanya menjadi slogan politik.

“Ya, mudah cakap RM15.5 bilion wang rakyat kena sakau. Tapi siapa sakau?” tegas beliau.

Kenyataan Rafique ini mencerminkan sentimen segelintir pihak dalam blok pembangkang yang menganggap kerajaan masih gagal membuktikan ketelusan dalam isu pengembalian dana dan pelantikan individu berprofil tinggi yang dikaitkan dengan kes mahkamah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share