NGO Cadang Tengku Zafrul Dan Isham Jalil Berdebat Isu Perjanjian Malaysia-AS

KUALA LUMPUR, 1 NOV 25 — Gabungan Nasionalis (GN) mencadangkan satu debat perdana ekonomi negara diadakan bagi membincangkan isu perjanjian Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang kini menjadi perhatian umum.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya, berkata pertubuhan itu mencadangkan debat itu melibatkan dua panel utama iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Hizatul Isham Abdul Jalil, penganalisis politik dan pakar ekonomi.

Tajuk yang dicadangkan ialah “Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat — Adakah Menguntungkan atau Merugikan Negara?”.

Beliau berkata, objektif utama debat ini adalah untuk memperkukuh wacana awam serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar perdagangan dan kesannya terhadap ekonomi negara.

“Dalam suasana geopolitik dunia yang kian mencabar, termasuk tekanan terhadap eksport dan pelaburan asing, rakyat perlu diberi peluang untuk menilai keputusan kerajaan secara kritikal dan berasaskan fakta,” katanya, dalam satu kenyataan.

Katanya, debat itu bertujuan menjadi platform wacana terbuka dan berfakta bagi menilai sama ada perjanjian tersebut membawa keuntungan atau kerugian kepada negara.

Jelas Aminuddin, sesi debat itu dicadangkan diadakan secara terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, ahli akademik, pengamal NGO, ahli ekonomi dan warga media bagi memupuk budaya dialog dan bertanya dalam sistem demokrasi negara.

“Debat seperti ini penting untuk memperkasa rakyat dengan maklumat sebenar serta menggalakkan budaya perbincangan yang sihat dan matang,” katanya.

Katanya, GN kini sedang berusaha menghubungi kedua-dua pihak yang dicadangkan dan akan memaklumkan tarikh, masa dan lokasi debat tersebut selepas mendapat persetujuan rasmi.

“GN percaya inisiatif ini akan menjadi satu mercu tanda penting dalam membina wacana awam yang berhemah serta memperkukuh budaya demokratik di Malaysia,” tambahnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share