
KUALA LUMPUR, 23 Okt 2025 — Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam menggesa UMNO supaya menamatkan kerjasama politik dengan DAP, PKR dan Amanah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), serta mempertimbangkan untuk menjalin semula gabungan dengan Perikatan Nasional (PN) atau menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN).
Gesaan itu disampaikan dalam satu pertemuan di ibu pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn semalam, yang dihadiri Perkasa bersama 16 NGO Melayu lain dan pimpinan tertinggi parti termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Presiden Perkasa merangkap ketua delegasi, Syed Hassan Syed Ali, berkata pertemuan itu bertujuan menyampaikan pandangan dan kebimbangan NGO Melayu terhadap hala tuju politik UMNO, khususnya kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP.
“Kami berharap UMNO tidak lagi bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah pada PRU16. UMNO tidak wajar bertanding secara solo, sebaliknya perlu membina semula kerjasama dengan Perikatan Nasional atau menghidupkan kembali Muafakat Nasional sekiranya Bersatu terus bergolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, delegasi NGO juga membangkitkan isu-isu semasa berkaitan kepentingan Islam, Melayu dan negara yang didakwa semakin terhakis akibat pengaruh DAP dalam kerajaan, serta mendesak UMNO lebih tegas mempertahankan agenda tersebut.
Syed Hassan turut memaklumkan bahawa dalam sesi perbincangan itu, Asyraf Wajdi menjelaskan beberapa langkah UMNO dalam memperkasakan kepentingan Islam dan Melayu semasa bersama Kerajaan Madani.
“Kami berpandangan tindakan UMNO dalam hal itu baik, namun tidak banyak dimaklumkan kepada masyarakat Melayu secara meluas,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pertemuan tersebut tidak membawa maksud NGO yang terlibat menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau bersetuju dengan penyertaan UMNO dalam gabungan yang melibatkan DAP.
“Kami mahu tekankan bahawa perjumpaan ini tidak harus disalah tafsir seolah-olah kami menyokong kerajaan yang ada DAP. Tujuannya semata-mata untuk menyuarakan pendirian dan kebimbangan kami terhadap masa depan politik Melayu Islam,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.