
KUALA LUMPUR, 27 Jun 25 – Kerajaan hari ini dilihat membuat keputusan sekadar untuk mengelak kritikan rakyat tanpa sebarang rancangan jangka panjang sebenar, kata Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu itu menegaskan, rakyat mahukan keikhlasan kerajaan dalam mentadbir negara.
“Kerajaan perlu insaf bahawa rakyat tidak perlukan gimik. Apa yang rakyat mahu adalah keikhlasan dalam memimpin.
“Janganlah buat sesuatu keputusan sekadar untuk meredakan kritikan, sebaliknya buatlah keputusan yang benar-benar meringankan beban rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan.
Ketua portfolio pertanian dan keterjaminan makanan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, langkah kerajaan mengecualikan epal, oren, dan kurma beserta limau mandarin dari Cukai Barang dan Cukai Perkhidmatan (SST) tidak mencukupi.
“Apakah empat jenis buah ini sahaja yang dianggap keperluan harian rakyat? Bagaimana dengan mangga, pisang, ikan selar, ikan tongkol, ikan bilis dan pelbagai lagi barangan asas harian yang digunakan oleh jutaan rakyat biasa setiap hari?
“Kelapa, santan dan kerisik misalnya adalah bahan utama masakan rakyat turut dikenakan SST 5%. Jika semasa GST, kelapa, santan dan kerisik dikecualikan daripada cukai mengapa kini Kerajaan Madani mengenakan cukai? Mana keadilan untuk rakyat?,” soal Ronald.
Jelasnya, pengumuman seperti itu tidak membantu isu pokok yang dihadapi rakyat, beban sara hidup yang bertimpa-timpa, ditambah lagi rasionalisasi subsidi RON95 bakal menyusul pada Julai.
“Pengumuman yang bersifat reaktif, sesudah menerima kritikan ramai susulan pelaksanaan serentak perluasan SST dan kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai, tidak akan menyelesaikan beban bertimpa-timpa yang menjerut rakyat.
“Apatah lagi selepas ini rasionalisasi RON95 pula bakal menyusul,” kata Ronald lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.