
KUALA LUMPUR, 13 Jun 25 – Perikatan Nasional (PN) menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penipuan dan salah guna kuasa dalam siasatan dan pendakwaan ke atas bekas pembantu penyelidik kepada ahli politik Yusoff Rawther.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya wujud bukti terhadap elemen tersebut, mereka yang terlibat dan dalang utamanya mesti dihukum dengan seberat-berat hukuman.
“Untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara hukum, adalah penting agensi-agensi penguatkuasa yang tugasnya adalah semata-mata untuk menegakkan undang-undang dan keadilan dibersihkan daripada anasir-anasir jahat ini.
“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Presiden Bersatu itu bimbang Malaysia menjadi negara gestapo dengan kewujudan anasir tidak senonoh dalam agensi penguatkuasa yang mengikut telunjuk penguasa politik secara membuta tuli.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pihak berkuasa juga perlu memberi jaminan keselamatan susulan daripada pembebasan Yusoff oleh mahkamah.
“Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berkemungkinan besar kerana bukti-bukti yang dikemukakan adalah direka untuk menyabitkan kesalahan.
Muhyiddin berkata, kes itu juga memperlihatkan bagaimana institusi negara dan instrumen undang-undang digunakan secara rakus tanpa sedikit pun rasa malu dan belas ihsan menganiaya rakyat yang tidak bersalah semata-mata melindungi sang penguasa.
Katanya, ia amat mengecewakan kerana jenayah berat dikenakan ke atas Yusoff yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup digunakan.
“Undang-undang dan institusi negara yang sepatutnya menjadi pelindung rakyat dan penegak keadilan telah ditukar menjadi alat kezaliman oleh rejim Madani.
“Janji reformasi dan keadilan untuk semua adalah hipokrasi terbesar rejim ini,” kata Muhyiddin.@politiko.my