
KUALA LUMPUR, 10 Okt 25 – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengharapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat daripada arena politik tanah air bagi memberi tumpuan membersihkan namanya daripada pertuduhan di mahkamah.
Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, pertubuhan itu berpandangan, wajar untuk Muhyiddin mencontohi Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berehat daripada jawatan Presiden Muda bagi menghadapi pertuduhan terhadapnya di mahkamah.
“Perkasa merasakan adalah tidak wajar untuk mana-mana presiden parti turun naik mahkamah berhadapan kes-kes salah guna kuasa yang membabitkan dakwaan menerima wang haram.
“Lebih-lebih lagi saya berada dalam mahkamah mendengar sendiri semua pendakwaan terhadapnya menyebut jumlah wang terbabit setiap pertuduhan didepositkan ke akaun bank parti Bersatu.
“Namun Perkasa menghormati keputusan mahkamah dan dengan usia Muhyiddin telah mencapai 78 tahun amatlah sesuai beliau berundur dari menerajui Bersatu dan berikan tumpuan kepada kes-kes mahkamah yang bakal beliau tempuhi dengan masa agak lama,” katanya, kepada politiko.my.
Tambahan pula katanya, Muhyiddin sudah pernah menjawat jawatan tertinggi dalam arena politik sebagai perdana menteri.
“Usahlah bimbang pasal negara kerana pimpinan lebih muda darinya mampu membawa Bersatu dan negara dengan lebih hebat berbanding pemimpin yang ada dalam kerajaan sekarang,” kata Syed Hassan.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Muafakat Nasional Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula berpandangan Syed Saddiq menunjukkan contoh pemimpin berprinsip dengan tindakannya sekaligus membuatkan dirinya sebagai pemimpin digemari rakyat.
“Keseluruhan rakyat akan menghormati prinsip dan pendirian Muhyiddin yang akan kelihatan sebagai seorang tokoh pemimpin yang berwibawa yang kelihatan tidak gila kuasa.
“Tambahan pula, Muhyiddin telah mewujudkan satu pelan peralihan kuasa yang bakal diterajui oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Timbalan Presiden Bersatu,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga katanya boleh bergantung harapan pada Hamzah kerana Ketua Pembangkang itu amat ikhlas terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Khairuddin berkata, Muhyiddin juga mempunyai rekod cemerlang dalam karier politiknya kerana sudah berjaya mencipta satu platform alternatif kepada orang-orang Melayu berpaut iaitu Perikatan Nasional (PN).
“PN sudah berjaya menjadi satu wadah platform baru untuk menggantikan Umno dan Barisan Nasional,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.