
SEREMBAN | 21 Apr 26 – Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan mengumumkan peletakan semua jawatan dan keluar parti, dengan menyifatkan tindakannya sebagai protes terhadap pencabulan prinsip dalam kepimpinan parti.
Mohd Herman Hassan, yang sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Kerja Bersatu Negeri Sembilan, merangkap Pegawai Khas kepada Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, menegaskan keputusannya dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan.
Menurut beliau, tindakan itu bukan didorong kepentingan peribadi, sebaliknya sebagai reaksi terhadap apa yang disifatkannya sebagai ketidakadilan dan pengkhianatan terhadap prinsip perjuangan parti, khususnya susulan pemecatan Hamzah Zainuddin.
“Ini bukan sekadar keputusan politik, tetapi gambaran jelas bahawa ada pihak sanggup mengkhianati prinsip yang mereka sendiri laungkan,” katanya dalam satu ucapan pada sebuah majlis di sini, semalam.
Herman turut mempersoalkan kesetiaan kepimpinan terhadap slogan parti yang menekankan nilai bersatu, amanah dan bermaruah, dengan mendakwa nilai-nilai tersebut telah diketepikan dalam tindakan terbaru parti.
Beliau berkata, usaha damai untuk merapatkan kembali perbezaan dalam parti juga didakwa tidak dilayan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang komitmen kepimpinan terhadap budaya politik matang dan inklusif.
“Kalau pintu damai pun ditutup, apakah ini budaya politik yang kita mahu wariskan?” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keputusannya meninggalkan parti bukan bermaksud meninggalkan perjuangan, sebaliknya untuk mempertahankan prinsip yang diyakini sejak menyertai Bersatu pada 2016.
Herman juga mengumumkan sokongan terbuka terhadap gerakan RESET serta kepimpinan Hamzah Zainuddin, yang menurutnya mencerminkan nilai integriti dan kejujuran yang diperlukan negara ketika ini.
Beliau turut memberi bayangan bahawa tindakannya bukan bersifat terpencil, sebaliknya melibatkan beberapa lagi rakan seperjuangan yang berkongsi pendirian sama.
“Ini soal maruah, ini soal prinsip. Kami tidak keluar kerana jawatan, tetapi kerana tidak lagi dapat mempertahankan apa yang berlaku,” katanya.
Perkembangan itu dilihat berpotensi mencetuskan gelombang baharu dalam dinamika dalaman BERSATU, ketika parti berdepan cabaran mengekalkan kesatuan dan kepercayaan ahlinya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.