
KUALA LUMPUR, 1 Okt 25 – NGO Negarawati Tanah Air menyeru semua pihak turut ke ibu negara bagi menyertai himpunan aman membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025.
Ketuanya Bibi Sunita S Khan berkata, banyak aspek dalam RUU itu perlu ditambah baik sebelum diluluskan kerana dakwanya memberi kelebihan kepada pemaju berbanding pemilik.
“Kita tidak sama sekali menolak pembangunan namun akta yang ingin diperkenalkan dan ingin diluluskan ini sangat-sangat longgar, ada kelompangan, ketirisan, kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki, diperbetulkan dan ditambahbaik.
“Akta ini dilihat membuli rakyat dan menyantuni pemaju, disamping memberi kuasa yang berlebihan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan jika ianya dilaksanakan, ” katanya.
Pihaknya juga mempersoalkan sikap tergesa-gesa Menteri KPKT Nga Kor Ming dalam usaha meluluskan RUU itu dengan mendakwa sama ada wujud usaha dan perancangan persempadanan semula bandar untuk PRU16.
“Jika bukan, mengapa perlu dibuat secara tergesa-gesa, mengapa perdana menteri juga turut menyokong usaha ini sedangkan rakyat majoriti menolak,” katanya.
Himpunan anjuran Pemuda PAS akan berlangsung di kawasan pusat beli belah Sogo di ibu negara pada Sabtu, 4 Okt depan sekitar pukul 2 petang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.