
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 25 – Persatuan mewakili mewakili pekerja gig menolak Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 kerana didakwa bakal menguburkan pekerjaan tersebut sekiranya diluluskan.
RUU itu kata mereka akan mengurangkan pendapatan bersih, memaksa pekerja gig sambilan dalam sektor e-hailing dan p-hailing untuk berhenti, menghapuskan persaingan, dan “menyerahkan ekosistem kepada monopoli”.
“Apabila bilangan pekerja gig sektor ini berkurangan sedangkan permintaan pelanggan kekal atau meningkat, kos perjalanan dan penghantaran pasti naik.
“Akibatnya pengguna menanggung harga lebih tinggi, perniagaan kecil hilang sokongan logistik, dan daya saing ekonomi digital Malaysia tergugat.
“Apabila hanya tinggal satu atau dua syarikat besar, kerajaan sendiri akan jadi tebusan korporat. Inilah realiti yang menunggu jika RUU ini diteruskan, inilah pengkhianatan sebenar terhadap pekerja dan ekonomi negara,” kata dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan enam persatuan pekerja gig.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia; Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia; Persatuan Penghantar Dan Penghantar E-Hailing Sabah; Persatuan Rakan Penghantar Melaka; Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak; dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.
RUU itu dakwanya mempunyai definisi yang longgar dan mengumpulkan semua jenis sektor gig ke dalam satu tafsiran.
“E-hailing, p-hailing, freelancer, penjaja. Ia seolah-olah semua sektor mempunyai cabaran yang sama. Ini bukan perlindungan, ini kekeliruan.
“Negara jiran seperti Singapura cermat dan mula dengan sektor ride-hailing/delivery dahulu. Malaysia pula mahu gopoh, akibatnya yang akan hancur adalah pemandu dan penghantar di jalanan,” katanya.
Tambahnya, pertubuhan dengan lebih 10,000 keahlian dari seluruh negara itu merasakan RUU berkenaan tidak realistik untuk dilaksanakan.
“Kami yang terdiri daripada 10,000 ahli seluruh negara dan terlibat secara langsung dalam sektor e-hailing dan p-hailing menolak keras RUU ini kerana ia tidak realistik, dan hanya menguntungkan segelintir pemain besar,” katanya.
RUU itu merangkumi empat komponen utama iaitu takrif pekerja gig, mekanisme penyelesaian pertikaian, menangani isu pembayaran dan perlindungan sosial untuk pekerja gig di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Namun kumpulan itu mendakwa RUU tersebut tidak menyentuh isu sebenar seperti kadar komisyen yang mencekik dan kadar tambang dan kadar upah yang menurun.
“Tanggapan bahawa ia adalah perisai untuk pekerja gig adalah kosmetik semata-mata, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada mata pencarian puluhan ribu pemandu ehailing dan phailing,”katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.