
KUALA LUMPUR, 21 Jul 25 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mendapatkan penagngguhan prosiding daripad Mahkamah Rayuan berhubung saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidik Muhammed Yusoff Rawther terhadapnya.
Penangguhan tersebut bagi menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan isu penting Perlembagaan berkaitan kekebalan jawatan perdana menteri.
Ia berikutan permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke mahkamah tertinggi negara sama ada seorang perdana menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman sivil semasa memegang jawatan tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sebulat suara bersetuju wujudnya ‘keadaan istimewa’ yang mewajarkan penangguhan sementara prosiding saman yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu.
“Sekiranya rayuan ini tidak dibenarkan, rujukan kepada Mahkamah Persekutuan akan menjadi tidak relevan. Oleh itu, mahkamah berpandangan penangguhan adalah wajar dan tidak memprejudiskan mana-mana pihak,” kata Che Mohd Ruzima seperti dilaporkan MalaysiaGazette.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng.
Mahkamah turut menetapkan 2 Sept depan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Untuk rekod, pada 4 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan atas alasan ia bersifat spekulatif dan tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Antara persoalan yang dikemukakan Anwar ialah sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada disaman ketika memegang jawatan perdana menteri.
Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 mendakwa beliau telah diserang secara seksual di kediaman Anwar di Segambut pada Okt 2018, iaitu sebelum Ahli Parlimen Tambun itu dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov 2022. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.