
KUALA LUMPUR, 1 Nov 25 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, membangkitkan persoalan mengenai niat sebenar Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mahu kembali menjadi Perdana Menteri.
Menurut bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ketika ini terdapat persoalan dalam kalangan ahli dan penyokong parti sama ada hasrat tersebut benar-benar untuk rakyat, atau bagi melindungi kepentingan peribadi.
“Ada orang dah mula tanya sekarang — adakah Tan Sri Muhyiddin nak jadi Perdana Menteri walaupun mungkin untuk setahun dua tahun saja sebab nak guna kuasa untuk tutup kes dia di mahkamah?” katanya dalam sesi audio siar The Zaid Ibrahim, semalam.
Beliau turut mempersoalkan sama ada keinginan itu berkait dengan usaha untuk “memastikan menantu, anak dan cucu beliau boleh kembali ke Malaysia”.
“Ada juga yang bertanya adakah beliau nak jadi Perdana Menteri sebab nak bantu tutup kes Azmin Ali dan isu videonya,” ujarnya lagi.
Katanya, persoalan-persoalan itu memberi kesan besar terhadap imej dan kredibiliti Perikatan Nasional (PN) yang selama ini menonjolkan slogan “bersih dan stabil”.
“Ini persoalan yang sangat mencederakan mesej kita bila kita nak yakinkan rakyat bahawa PN bersih dan stabil,” tegasnya.
Wan Saiful itu baru-baru ini dipecat daripada keahlian Bersatu susulan aduan pihak tertentu yang mendakwa beliau mengutip SD untuk menjatuhkan presiden parti yang hari terdedah bahawa dakwaan tersebut adalah palsu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.