Silap Profil KPN: Jangan Guna Intimidasi Terhadap Akhbar – Majlis Media Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Jun 25 – Tindakan yang bakal dikenakan terhadap akhbar Sinar Harian susulan kesilapan penyiaran profil Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, tidak sepatutnya membabitkan pendekatan intimidasi, kata Majlis Media Malaysia.

Lembaga Pengasas majlis yang dianggotai wakil dalam kalangan pemilik, pengamal media dan bukan media itu berkata, mereka bimbang penggunaan tindakan keras atau tidak seimbang oleh pihak berkuasa dalam menangani kesilapan seperti itu.

Menurutnya, pendekatan menghukum melalui undang-undang yang menindas hanya akan melemahkan kebebasan media.

“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik – bukan melalui intimidasi atau penindasan.

“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk melapor secara tepat dan beretika, adalah penting bagi sebarang kesilapan turut ditangani secara membina serta dalam kerangka yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pertemuan antara Sinar Harian dengan KPN susulan insiden itu, dipercayai akan membawa kepada penyelesaian yang konstruktif.

Kesilapan juga katanya boleh berlaku dalam mana-mana profesion tetapi perkara yang lebih penting ialah cara kesilapan itu ditangani.

“Media harus bertindak balas dengan ketelusan, rendah hati dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan.

“Meskipun Majlis Media Malaysia belum berfungsi secara rasmi, situasi ini mengukuhkan keperluan untuk kita mengangkat nilai-nilai asas kewartawanan yang bertanggungjawab dan kepentingan semakan fakta, khususnya apabila melaporkan mengenai institusi penting negara.

“Kami komited mewujudkan persekitaran media yang menghormati kebebasan bersuara dalam batas kewartawanan yang profesional, bertanggungjawab dan beretika.

“Kami percaya bahawa pegangan akauntabiliti yang konstruktif – dan bukan kawalan yang menghukum – adalah jalan terbaik untuk membina landskap media yang lebih kuat dan dipercayai di Malaysia,” katanya.

Lembaga Majlis Media turut menegaskan semua organisasi media perlu bertanggungjawab atas kandungan yang mereka siarkan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share