
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 25 – Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempersoalkan sama ada kementerian pendidikan serius dalam menangani gejala buli di sekolah dan keadilan untuk Zara Qairina Mahathir.
Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, ini kerana dalam beberapa sesi perbahasan di Dewan Rakyat Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak menyentuh langsung isu tersebut walaupun dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen.
“Saya amat kesal dengan menteri pendidikan. Adakah menteri pendidikan benar-benar serius mengatasi masalah buli di sekolah dan benar benar komited tegakkan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina.
“Hampir separuh ahli parlimen berbicara soal buli dan Zara Qairina tetapi semasa menggulung menteri pendidikan tidak sentuh langsung perkara tersebut,” kata Saifuddin dalam kenyataan video di media sosial miliknya.
Katanya, pada 30 Julai sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan, Saifuddin membangkitkan lapan persoalan berkaitan kematian Zara Qairina namun tidak mendapat respons Fadhlina.
“Tetapi beliau tidak jawab walau satu pun soalan tersebut.”
Bekas menteri luar itu berkata, pihaknya sekali lagi membangkitkan perkara sama pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) minggu lalu, termasuk beberapa ahli Parlimen lain.
“Minggu lalu Dewan Rakyat membahaskan RMK13 termasuk bidang pendidikan, saya bangun bangkitkan sekali lagi soal Zara Qairina, soal siasatan, bedah siasat dan harapan rakyat terhadap inkues yang adil dan telus,” katanya, dan menambah, Fadhlina masih tidak menyentuh perkara itu itu dalam penggulungannya @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.