PAC Dedah Ketirisan dan Tatakelola Lemah Agensi Kerajaan Negeri Melaka

KUALA LUMPUR, 18 Okt 25 — Jawatankuasa Kira-kira Kerajaan (PAC) Negeri Melaka mendedahkan beberapa isu ketirisan, kelemahan tadbir urus dan kemungkinan salah guna kuasa melibatkan lima agensi serta anak syarikat kerajaan negeri.

Pengerusi PAC, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata pendedahan itu hasil Mesyuarat PAC Bil. 3/2025 yang berlangsung pada 15 Oktober lalu di Seri Negeri.

Lima agensi terlibat ialah Zoo Melaka/MPHTJ, Perbadanan Stadium Melaka (PSM), Melaka Sentral, Lembaga Perumahan Negeri Melaka (LPNM) dan Melaka Bekal Sdn. Bhd. (MBSB) — yang dikategorikan berstatus “kuning” oleh Jabatan Audit Negara berikutan isu ketelusan dan pengurusan kewangan.

Antara penemuan paling serius ialah kes pembelian singa putih bernilai RM60,000 oleh Zoo Melaka yang tidak dapat dibuktikan penerimaannya walaupun bayaran telah dibuat. Menurut Dr Yadzil, kes itu kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa individu telah didakwa di mahkamah.

“PAC dimaklumkan singa putih tersebut telah diterima tetapi mati selepas tempoh tertentu. Namun hanya bukti gambar dikemukakan tanpa dokumentasi lengkap,” katanya.

Selain itu, audit turut mendedahkan pembelian 150 ekor burung serindit bernilai RM12,000 yang tidak direkodkan penerimaannya, serta 16 rumah pameran di zoo tidak digunakan.

Perbadanan Stadium Melaka (PSM) pula didapati gagal mengutip hasil sewaan berjumlah RM183,829.70, termasuk hutang tertunggak lebih 12 tahun kerana tiada perjanjian sewaan sah.

Bagi Melaka Sentral, audit mendapati tanda-tanda mendapan tanah, retakan struktur bumbung dan unsur penipuan tandatangan terhadap baucer bayaran berjumlah RM168,789 yang kini disiasat polis dan SPRM.

Dalam masa sama, Melaka Bekal Sdn. Bhd. (MBSB) dikenal pasti menandatangani perjanjian pembalakan di Hutan Simpan Kekal Ulu Muda tanpa kelulusan Lembaga Pengarah serta terlebih bayar insurans kakitangan sebanyak RM304,370.

Dr Yadzil menegaskan PAC akan terus memanggil agensi dan kontraktor terlibat bagi memastikan penambahbaikan segera dibuat.

“PAC komited memastikan setiap sen wang rakyat diurus dengan telus. Tatakelola yang lemah tidak boleh menjadi budaya dalam pentadbiran negeri,” tegasnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share