
KUALA LUMPUR, 15 Jul 25 – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau masih aktif dan mengambil berat terhadap perkara yang berlaku di dalam negara kerana Malaysia adalah negaranya.
Dalam hantaran di Facebook, bekas perdana menteri itu menjelaskan beliau sering ditanya mengapa masih lagi mengambil berat apa yang berlaku di dalam negara walaupun tempoh pemerintahan sudah berlalu.
“Jawapan saya — kenapa pula saya tak patut ambil peduli? Saya orang Malaysia. Saya orang Melayu. Ini negara saya. Saya lahir di sini. Saya membesar di sini dan saya banyak dapat manfaat daripada negara ni.
“Tentulah saya ini tak bersyukur kalau saya tak ambil kisah langsung pasal negara yang dah bagi saya kehidupan yang selamat dan terjamin,” katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau menyayangi negara ini sepenuh nyawa.
“Negara ini hebat. Iklimnya amat baik. Tanahnya subur, kaya dengan bermacam hasil galian. Bagi saya, ianya menawar pelbagai, dan banyak sudahpun tertunai.
“Ia boleh beri lebih lagi kalau kita tahu macam mana nak buat. Ini negara saya, saya tak ada tempat lain nak pergi. Sebab tu saya sayang negara ni dan saya akan sayang sampai hujung nyawa,” katanya
Atas alasan itu juga katanya beliau secara aktif mengambil berat terhadap kesejahteraan Malaysia.
“Itu sebab saya tunjuk perasaan ambil berat, secara aktif, terhadap kesejahteraan Malaysia — negara saya.
“Saya tak lupa, bahawa di dunia ini ada orang lain yang tidak ada negara, tak ada tanah yang mereka boleh panggil tanah mereka sendiri,” tambah Dr Mahathir lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.