
KAJANG, 18 Okt 25 — Bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menegaskan pemecatannya daripada parti itu tidak akan mematahkan semangat perjuangan politiknya. Sebaliknya, beliau menyeru ahli-ahli akar umbi agar mengembalikan semula perjuangan BERSATU kepada landasan asal — membela rakyat, bukan kepentingan peribadi.
Bercakap pada Majlis Sambutan Deepavali di Kajang malam tadi, Wan Saiful mengingatkan bahawa perayaan Deepavali membawa simbol kemenangan cahaya ke atas kegelapan dan kebenaran mengatasi kebatilan — satu pengajaran penting buat rakyat dan juga pemimpin politik.
“Hari Deepavali adalah perayaan untuk meraikan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebenaran ke atas kebatilan. Dalam keadaan negara dilanda ketempangan akibat kelemahan kerajaan mentadbir, semangat ini harus menjadi pembakar semangat untuk kita terus berjuang,” katanya.
Beliau secara terbuka mengakui pemecatannya daripada BERSATU, namun menegaskan bahawa tindakan itu berpunca daripada segelintir pemimpin yang menyalahgunakan kuasa untuk mempertahankan kedudukan dan kepentingan keluarga, bukannya kerana beliau menyeleweng daripada perjuangan parti.
“Pemecatan saya tidak boleh dijadikan sebab untuk menafikan idealisme perjuangan BERSATU. Idealisme itu tetap sama seperti dahulu. Apa yang berlaku hanyalah pergeseran dalaman akibat kelompok kecil yang berkuasa mempergunakan parti untuk kepentingan diri,” tegasnya.
Menurutnya, perpecahan dalam BERSATU hanyalah sementara kerana semakin ramai ahli yang sedar tentang keperluan perubahan dan menolak budaya politik naungan yang membelenggu kepimpinan tertinggi.
“Dalam parti ini semakin ramai yang menuntut perubahan, tetapi pemimpin tertinggi tidak mahu berubah. Mereka mempertahankan cara politik feudal dan menutup ruang untuk berbeza pandangan,” katanya.
Walaupun disingkirkan, Wan Saiful yakin akar umbi BERSATU masih berpegang teguh pada semangat perjuangan rakyat dan akan menuntut pembaharuan dalam parti.
“Saya mengajak semua bersabar dan memberi ruang untuk BERSATU menyelesaikan kemelut dalaman tanpa menghilangkan kepercayaan rakyat kepada parti,” ujarnya lagi.
Dalam majlis sama, beliau turut menegaskan bahawa BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) kekal konsisten dalam memperjuangkan nasib masyarakat India di Malaysia.
“Saya sendiri sudah beberapa kali membawa suara komuniti India ke Dewan Rakyat, termasuk isu kebajikan pemimpin kuil Hindu. Selepas isu itu dibangkitkan, barulah kerajaan mula mendengar keluhan mereka,” katanya.
Ucapannya disambut tepukan hadirin yang melihat keberanian Wan Saiful sebagai simbol bahawa perjuangan politik tulen tidak harus tunduk kepada tekanan kuasa atau kedudukan.
Minggu lepas, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan beliau bersama empat orang Ketua Bahagian, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung keahliannya selama satu penggal. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.