
KUALA LUMPUR, 2 Jan 26 — Mantan Ketua BERSATU Bahagian Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi menyifatkan pandangan Dr Marzuki Mohamad yang memberi amaran kepada PAS agar tidak terlalu yakin mampu berdiri sendiri sebagai cerminan keangkuhan elit politik lama yang gagal membaca realiti semasa.
Dalam satu kenyataan media semalam, Isa berkata hujah Marzuki seolah-olah meletakkan PAS perlu terus bergantung kepada figura tertentu sebagai “jambatan moderat”, satu pendekatan yang bukan sahaja angkuh malah memperkecilkan kemampuan sebenar PAS sebagai parti yang terbukti mentadbir kerajaan negeri dan membina sokongan akar umbi secara konsisten.
Beliau turut mendakwa kenyataan sedemikian menggambarkan sikap enggan berdamai dan tidak mahu mencari penyatuan dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya terus menanam benih perpecahan demi mempertahankan pengaruh kelompok tertentu.
“Sikap ini sinonim dengan kelompok elit di sekeliling Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lebih mementingkan kepentingan sendiri, bersifat sombong dan akhirnya mengasingkan beliau daripada realiti sebenar denyut nadi gabungan serta akar umbi,” katanya.
Isa menegaskan cubaan menakut-nakutkan PAS dengan naratif lama mengenai sokongan bukan Melayu juga tidak jujur secara politik, memandangkan sokongan tersebut kekal tidak signifikan walaupun ketika Muhyiddin menerajui PN.
Menurut beliau, isu sebenar bukan soal individu yang memimpin, tetapi kejujuran membina dasar, keadilan ekonomi dan keberanian menawarkan alternatif yang diyakini rakyat.
“PAS tidak pernah menolak kepentingan gabungan, tetapi kepimpinan dalam PN mesti berpaksikan kekuatan sebenar, bukan mitos politik atau nostalgia kuasa individu,” katanya.
Isa memberi amaran bahawa jika PN terus terperangkap dengan pemikiran elit angkuh seperti yang dibawa Marzuki, krisis keyakinan dalam gabungan itu bukan berpunca daripada PAS, sebaliknya daripada kelompok yang masih mahu mengawal hala tuju politik melalui bayang-bayang tokoh lama. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.