
KUALA LUMPUR | 9 Jun 26 — Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka membuka ruang kepada pembentukan kerjasama baharu antara parti itu dengan Gerakan RESET yang dipimpin bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, keputusan PAS tersebut tidaklah mengejutkan memandangkan bibit-bibit perpecahan antara PAS dan BERSATU telah lama wujud.
Menurut beliau, antara punca utama yang menyumbang kepada keretakan hubungan kedua-dua parti ialah isu pelantikan Menteri Besar Perlis serta tindakan disiplin yang dikenakan terhadap pemimpin-pemimpin BERSATU daripada kem Hamzah Zainuddin.
“Bibit-bibit perpecahan antara kedua-dua parti ini timbul atas beberapa isu, terutamanya isu MB Perlis dan isu tindakan disiplin Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas pemimpin-pemimpin BERSATU dari kem Hamzah Zainuddin,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian kepada hakikat bahawa pengumuman PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU dibuat hanya beberapa hari sebelum Konvensyen RESET Malaysia yang dijadual berlangsung di Tanah Merah, Kelantan pada 13 Jun ini.
Menurut Ahmad Fauzi, konvensyen tersebut dijangka menggariskan hala tuju baharu bekas pemimpin dan ahli BERSATU yang telah meninggalkan parti berkenaan.
“Jadi kita boleh menjangkakan satu bentuk kerjasama berlaku pula antara pasukan RESET dengan PAS,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai petunjuk awal bahawa RESET berpotensi menjadi antara rakan strategik baharu PAS selepas berakhirnya hubungan politik parti itu dengan BERSATU.
Dalam masa sama, Ahmad Fauzi berpandangan bahawa persoalan lebih besar kini ialah mengenai masa depan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini bertunjangkan kerjasama antara PAS dan BERSATU.
Katanya, masih belum jelas sama ada PN akan terus menjadi platform politik yang dipimpin PAS bersama sekutu-sekutu baharunya, atau kekal bersama BERSATU, Gerakan dan parti-parti lain yang masih setia kepada kepimpinan Muhyiddin.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan berlakunya jajaran politik baharu yang menggabungkan PAS, RESET dan parti-parti lain, termasuk kemungkinan kerjasama yang lebih luas menjelang Pilihan Raya Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut Ahmad Fauzi, perkembangan mutakhir itu menunjukkan politik Malaysia kini memasuki era baharu yang lebih dinamik, di mana gabungan dan kerjasama politik sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.
Dengan PAS secara rasmi menamatkan kerjasama politiknya dengan BERSATU dan RESET pula bakal mengumumkan hala tuju masa depannya dalam konvensyen minggu ini, perhatian kini tertumpu kepada kemungkinan pembentukan pakatan politik baharu yang boleh mengubah landskap politik negara menjelang PRU16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.