
KUALA LUMPUR, 11 NOV 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengelak daripada menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang yang menyentuh berkaitan perjanjian dagangan timbal balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (PMQT).
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, Anwar sebaliknya dilihat lebih gemar menjawab soalan daripada Ahli Parlimen kerajaan.
“Persoalannya, kenapa soalan tentang ART ini tidak mahu dijawab? Mengapa terus mengelak ke sana sini dan hanya mengambil soalan daripada ahli parlimen kerajaan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua penerangan PAS itu turut menolak dakwaan kononnya isu tersebut telah banyak kali dijelaskan oleh perdana menteri seperti yang diwar-warkan oleh penyokong kerajaan di media sosial.
Sebaliknya, beliau menegaskan dua sesi PMQT selepas perjanjian ART dimeterai — pada 30 Okt dan 4 Nov 2025 — langsung tidak menyentuh sebarang jawapan berhubung isu itu.
“Pejabat Perdana Menteri sendiri sengaja memilih untuk tidak menjawab soalan ART yang dihantar oleh PN.
“Apa yang mahu disembunyikan? Apa yang ditakutkan sangat?” soalnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.