PAS Ikat Calon Dengan Baiah Cegah Khianat, Seru Pengundi Sabah Pilih Pemimpin Beramanah

KARAMBUNAI, 17 NOV 25 — Presiden PAS merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), YB Tan Sri Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang, menegaskan bahawa parti itu mempunyai mekanisme tegas untuk memastikan wakil rakyatnya tidak mengkhianati mandat rakyat melalui amalan baiah dan sumpah setia calon.

Menurut beliau, setiap calon PAS yang dipilih wajib mengangkat sumpah di hadapan pimpinan pusat dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” sebagai komitmen untuk menjalankan amanah serta tidak mengkhianati parti dan rakyat.

“Ini parti kami. Bila cukup syarat, dipilih jadi calon. Tiap-tiap calon diwajibkan berbaiah dan bersumpah. Kami berjanji menunaikan kewajipan dan tidak akan khianat. Jika khianat, kami tidak diakui oleh Allah, dilihat oleh manusia, malaikat dan makhluk,” katanya dalam siri ceramah pilihan raya negeri bersama calon PN, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Hadi berkata tradisi baiah itu telah terbukti berkesan dalam mengawal integriti wakil rakyat PAS, malah mendakwa parti lain tidak mempunyai ikatan disiplin seumpamanya.

“Parti lain tak ada. Betapa kami ikat calon-calon yang bertanding. Dalam sejarah kita, bila ada yang menang lalu khianat, hidup mereka tidak sempurna. Sebab itu dalam PAS tak ada masalah lompat parti, tak perlu undang-undang khas. Cukup dengan sumpah ini.”

Beliau turut menegaskan semua kerajaan negeri di bawah PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, kekal bersih tanpa salah laku kerana disiplin dalaman parti yang ketat.

Dalam kenyataannya, Hadi juga menyatakan kesediaan penuh untuk disiasat oleh pihak berkuasa termasuk SPRM.

“Saya beritahu SPRM, kami terbuka untuk siasat Menteri Besar, wakil rakyat, petugas kami. Kalau ada yang salah, kita pecat, mereka mesti letak jawatan.”

Hadi seterusnya menyeru pengundi Sabah untuk memahami nilai amanah dalam memilih calon kerajaan.

“Pemerintah negeri adalah amanah besar. Harta negara adalah amanah, bukan harta wakil rakyat atau pemimpin. Ini amanah Tuhan kepada mereka yang memimpin.”

Kenyataan itu dibuat ketika kempen PRN Sabah semakin rancak, dengan PN menekankan isu integriti, disiplin parti dan kepimpinan beramanah sebagai tawaran utama kepada pengundi.

Aliakbar yang juga Timbalan Pengerusi PN Sabah akan berdepan saingan 11 penjuru bagi DUN N.16 Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Calon-calon yang turut bertanding di DUN Karambunai ialah daripada Barisan Nasional, Parti Bumi Kenyalang, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Gemilang Anak Sabah, Gabungan Rakyat Sabah, Parti Damai Sabah, STAR, Warisan, Parti Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Impian Sabah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share