
KUALA LUMPUR, 7 NOV 25 — PAS sedang mempertimbangkan penganjuran demonstrasi “Turun Anwar 2.0” sebagai usaha menghalang tindakan menggadaikan kedaulatan negara, berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS), kata ketua penerangan Ahmad Fadhli Shaari
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, PAS juga mempertimbangkan tindakan bagi memfailkan semakan kehakiman terhadap perjanjian tersebut.
“PAS tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan melalui perjanjian ini dapat dihentikan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Selain itu, PAS juga katanya bercadang untuk mengadakan forum menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut.
“PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kekal peka dan bersama mempertahankan maruah serta kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan ekonomi baharu yang terselindung di sebalik nama ‘perdagangan dan digitalisasi’, ” katanya.
Himpunan Turun Anwar pertama berlangsung pada 26 Julai lalu di ibu negara.
Penganjur ketika itu menganggarkan sehingga 300,000 kehadiran peserta, tetapi polis hanya menganggarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 orang yang hadir.
Himpunan itu adalah berasaskan kepada tuntutan Pemuda PAS membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), sebelum bertukar kepada menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.