
KUALA LUMPUR, 11 Ogos 25 – PAS mungkin mempertimbangkan calon perdana menteri selain Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi perdana menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, kata penganalisis.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata ia dapat dilihat melalui wawancara Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang enggan mendedahkan calon perdana menteri pembangkang itu sebaliknya menegaskan hanya akan mengumumkan selepas menang PRU16.
“Pendekatan ini memberi gambaran bahawa PN mahu mengelakkan liabiliti awal sebelum PRU diadakan.
“Namun, kenyataan tersebut secara implisit juga menunjukkan kemungkinan wujudnya perbincangan dalaman PAS untuk mempertimbangkan tokoh alternatif selain Muhyiddin sebagai calon perdana menteri sekiranya PN diberi mandat membentuk kerajaan kelak,” katanya, kepada politiko.my.
Hisomudin beranggapan strategi PAS itu boleh ditafsirkan sebagai langkah membuka ruang pilihan kepimpinan bagi menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa.
“Saya melihat beliau mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak menamakan secara langsung mana-mana tokoh dalam PN, termasuk mantan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
“Alasan yang dikemukakan adalah bahawa mana-mana tokoh yang dinamakan lebih awal akan terdedah kepada serangan politik dan pendedahan yang berpotensi merosakkan kredibiliti serta potensi mereka,” katanya.
Tambahnya, kenyataan Tuan Ibrahim itu menunjukkan PAS mahukan perubahan dalam struktur organisasi PN, termasuk cadangan untuk mewujudkan Majlis Presiden yang telah dipersetujui.
Pendekatan itu katanya jelas memperlihatkan keinginan PAS supaya sebarang keputusan strategik dibuat secara kolektif, melalui proses rundingan bersama, dan bukan bergantung kepada keputusan unilateral atau kuasa veto pengerusi PN semata-mata.
“Isyarat ini boleh dibaca sebagai refleksi terhadap beberapa keputusan terdahulu dalam PN yang mungkin tidak selari dengan kehendak PAS, sekali gus mendorong parti itu menuntut mekanisme keputusan bersama yang lebih kukuh bagi mengelakkan dominasi satu pihak dalam gabungan,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.