
KUALA LUMPUR, 15 Okt 25 – Tindakan Lembaga Disiplin Bersatu memecat dan menggantung keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menyemarakkan lagi ketegangan dalam parti.
Ahli Bersatu, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, langkah itu berpotensi memburukkan keadaan dan mencetuskan ketegangan ketika parti bakal berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta perbahasan Belanjawan.
Tindakan itu juga katanya menunjukkan seolah-olah wujud rancangan untuk membunuh semangat demokrasi dan menyekat kebebasan bersuara dalam parti.
“Ia memberikan gambaran pendekatan autoritarian yang tidak selaras dengan prinsip keberkatan, beragama dan semangat musyawarah yang seharusnya menjadi asas perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam politik namun tindakan yang diambil berupaya menjadi pendahulu berbahaya pada masa hadapan.
Menurutnya, tindakan itu memberi gambaran sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pihak berkuasa dalam parti berisiko disingkirkan.
“Sekiranya perkara ini tidak diselesaikan secara harmoni dan damai, parti Bersatu mungkin akan berdepan krisis perpecahan dalaman yang amat dahsyat dan berpotensi menghancurkan institusi parti.
“Tidak pernah dalam sejarah politik tanah air kita mendengar mana-mana parti mengambil tindakan memecat ahlinya hanya kerana perbezaan sokongan atau pendirian terhadap mana-mana kem,” katanya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dikenakan tindakan pecat manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama sepenggal.
Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci, tindakan itu dipercayai berkait isu akuan bersumpah (SD) yang didakwa usaha mendesak pengunduran Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tu sebelum ini.
Wan Saiful bagaimanapun menafikan wujudnya usaha sedemikian.
Empat lagi ketua bahagian Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.