
KUALA LUMPUR, 28 APR 25 – Tindakan Ketua Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu menukar kedudukan kerusi wakil rakyat parti itu di dalam DUN Perak dianggap memalukan dan kini wujudnya akuan berkanun (SD) agar beliau diganti, kata sumber.
Sumber mendakwa, terdapat 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak menandatangani SD berkenaan memohon pemimpin pusat menggantikan Peja sebagai ketua.
“Surat itu diberi kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin pada minggu lalu, sekarang kita tunggu arahan selanjutnya,” katanya, seperti dilapor FMT.
SD itu antara lain meminta kedudukan Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain berikutan ramai tidak setuju kerana tindakannya tidak memaklumkan pertukaran kerusi itu sebelum permohonan rasmi dibuat ke DUN.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak sebelum ini menjelaskan permintaan menukar kerusi itu dibuat susulan pelantikan Nadziruddin sebagai setiausaha Bersatu Perak, jawatan dilepaskan Zainol.
Tetapi, beberapa bahagian Bersatu melihat ‘cubaan’ membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang selepas Razman Zakaria dari PAS digantung selama enam bulan.
Permintaan itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, walaupun beliau bersetuju memindahkan Nadziruddin ke barisan depan, dua kerusi dari Zainol.
Hamzah kemudiannya diarahkan untuk menyelesaikan perkara itu. @sumber