PAS Pilih Untuk Rahsiakan Calon Perdana Menteri PN

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 25 – PAS enggan menamakan calon Perdana menteri yang dipersetujui gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya mengatakan calon perdana menteri PN hanya akan diumumkan selepas menang PRU16 akan datang.

Tuan Ibrahim menggunakan alasan kononnya bagi mengelakkan calon perdana menteri mereka diserang pihak lawan dari segenap penjuru dalam usaha menghakis kredibiliti mereka.

“Banyak orang tanya sebenarnya…kita rahsiakan calon perdana menteri kita.

“Dia dalam sistem politik serangan tidak ada adab ini kamu namakan sahaja siaplah, akan diserang, disiasat, dibuka fail…sengaja benda itu dibuat kerana ketakutan, kerana inilah bakal jadi ancaman kepada jawatan perdana menteri. Ini berlaku di Malaysia,” katanya, dalam wawancara bersama MalaysiaGazette baru-baru ini.

Beberapa Bahagian Bersatu sebelum ini mengusulkan Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai poster boy gabungan dan calon perdana menteri.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selepas percaturan kuasa yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan 1.0 sebelum wabak Covid-19 melanda seluruh dunia.

Namun begitu, terdapat suara akar umbi mahu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin diangkat ke jawatan itu kerana turut berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, terdapat banyak contoh berlaku apabila seseorang dikatakan bakal diangkat sebagai perdana menteri dan menjadi sasaran serangan, antaranya Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokhtar.

“Bila Dr Sam ini nama naik, tengok macam mana, di Malaysia kita tak boleh namakan seseorang itu kerana akan jadi sasaran diserang, dilondeh, tidak ada kes dibuat kes.”

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak perlu risau kerana PN mempunyai kepimpinan yang ramai mampu menggalas jawatan itu.

“Bagi kita rakyat boleh nilai dalam PN ramai boleh jadi tokoh menerajui kerajaan. Maaf cakap siapa kenal (Datuk Seri) Sanusi (Mohd Nor) sebelum jadi menteri besar, bila kita menang kita angkat Sanusi ternyata dia mampu, Dr Sam siapa kenal sebelum ini.

“Dalam PN kita banyak kepimpinan yang mampu menerajui kerajaan. Tapi kalau kita angkat dia dahulu dia akan jadi sasaran,” kata Tuan Ibrahim.

Yang paling penting katanya adalah mandat daripada rakyat untuk menjamin kemenangan PN dalam pilihan raya.

“Rakyat bagi mandat kami tahulah macam mana untuk mengangkat tokoh besar mampu mengurus negara Insha Allah,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share