PAS Sahkan Akan Hadir Perhimpunan Agung UMNO – Asyraf Wajdi

KOTA BHARU | 4 Sep 26 – PAS dijangka menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung minggu depan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ketika mereka bertemu baru-baru ini.

“Perhimpunan UMNO minggu depan PAS akan hadir, insya-Allah!” kata Abdul Hadi kepada beliau, menurut Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, turut menyatakan harapan agar penyatuan ummah antara kedua-dua parti dapat direalisasikan.

“Insya-Allah kali ini kena pastikan penyatuan ummah benar-benar jadi,” katanya memetik kenyataan Tuan Ibrahim.

Menurut Asyraf Wajdi, perkembangan itu seharusnya disambut baik kerana rakyat sememangnya mengharapkan UMNO dan PAS sebagai dua parti terbesar orang Melayu dan Islam dapat berpakat serta bekerjasama.

“Insya-Allah rakyat memang mengharapkan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam ini dapat berpakat dan bekerjasama.

“Yang penting keikhlasan dan kepercayaan kedua-dua pihak bertunjangkan prinsip dan panduan Wahyu Ilahi,” katanya.

Kehadiran PAS pada PAU minggu depan berpotensi membuka ruang lebih luas kepada kedua-dua parti untuk memperkukuh hubungan politik, khususnya ketika perbincangan mengenai kerjasama antara parti-parti Melayu dan Islam semakin mendapat perhatian menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Asyraf Wajdi bagaimanapun menekankan bahawa sebarang usaha penyatuan perlu berasaskan keikhlasan dan kepercayaan, selain berpandukan prinsip yang menjadi pegangan kedua-dua parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share