PAS Sifatkan Cubaan Fahmi Salahkan Pembangkang Sebagai Kebudak-Budakan

KUALA LUMPUR | 6 Mac 26 – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan cubaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyalahkan pembangkang berhubung kegagalan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan kebudak-budakan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata dakwaan bahawa kegagalan tersebut berpunca daripada “salah faham” dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang adalah tersasar dan sekadar cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan sendiri.

Menurutnya, punca sebenar kegagalan RUU itu ialah ketidakmampuan kerajaan memastikan kehadiran serta sokongan Ahli Parlimennya sendiri ketika sesi pengundian yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Percubaan lemah untuk mengheret dan mengalihkan kesalahan kepada pihak pembangkang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menyerlahkan sifat kebudak-budakan dan pemalas kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Takiyuddin berkata sepanjang sesi perbahasan Parlimen, anggota pembangkang telah berulang kali menjelaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu diteliti dalam kerangka Perlembagaan yang lebih luas.

Menurut beliau, perkara itu khususnya melibatkan peranan dan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Tambahnya, pembangkang juga mencadangkan agar sebarang pindaan Perlembagaan berkaitan perkara tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong serta mendapat perkenan Majlis Raja-Raja memandangkan ia melibatkan implikasi terhadap peranan, kedudukan dan kemuliaan institusi Raja-Raja.

“Sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat dengan teliti dan berhemah, selain mendapat sokongan konsensus yang meluas. Kegagalan kerajaan dalam isu ini adalah kegagalannya sendiri, bukan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, PAS menegaskan parti itu kekal komited terhadap usaha reformasi yang tulen, jujur dan berhemah, selagi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus serta selari dengan kehendak dan semangat Perlembagaan negara.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, telah berkata bahawa ada wakil rakyat pembangkang menyangka RUU itu bertujuan untuk membolehkan Anwar Ibrahim kekal memegang jawatan perdana menteri sehingga 10 tahun.

Dalam kenyataannya, beliau tidak mendedahkan siapa ahli parlimen pembangkang yang didakwa keliru mengenai RUU berkenaan, yang memerlukan pindaan Perlembagaan dan hanya boleh diluluskan dengan sokongan dua pertiga daripada 222 ahli Dewan Rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share