
KUALA LUMPUR, 2 Sept 25 – Ketua Bahagian Bersatu Sepanggar, Norsahar Ahmad menegaskan bahawa usul utama yang bakal dibawa oleh perwakilan Bersatu Sabah dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ini adalah berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, rakyat Sabah semakin tertekan dengan pelbagai isu yang belum selesai di bawah kerajaan negeri sekarang, termasuk masalah asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.
“Terlalu banyak perkara berlaku di Sabah ketika ini. Masalah asas rakyat tidak diselesaikan, malah semakin memburuk. Kes kematian adik Zara Qairina juga menambah kemarahan rakyat kerana prosedur sebelum ini dianggap sangat lemah,” katanya kepada politiko.
Menurutnya, suasana politik Sabah juga berdepan ketidaktentuan apabila wujud kerumitan dalam kerjasama antara parti-parti kerajaan seperti BN, PH dan GRS yang dijangka sukar mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi pada PRN akan datang.
“Pada mulanya Ketua Menteri melaungkan slogan ‘Sabah for Sabahan’, tetapi selepas itu bergabung dengan PH, kemudian BN dan GRS. Akhirnya timbul masalah besar soal pembahagian kerusi. PH minta lebih 13 kerusi, ini memberi kesan kepada BN dan GRS. Pertembungan sesama mereka hampir pasti berlaku,” katanya.
Norsahar berpandangan keadaan itu membuka peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menawarkan alternatif yang lebih stabil, memandangkan parti-parti kerajaan dilihat masih berpecah.
“BN ramai yang keluar. di peringkat akar umbi, masing-masing sibuk berebut siapa yang jadi calon. Itu berbeza dengan PN yang tiada isu besar seumpamanya,” jelasnya.
Beliau berkata, walaupun mesyuarat rasmi Bersatu Sabah belum memutuskan usul-usul yang akan dibawa, namun fokus kepada PRN Sabah diyakini menjadi agenda utama.
“Mungkin kami perlukan sokongan daripada ahli di seluruh Semenanjung untuk turun ke Sabah bagi membantu strategi PRN. Itu yang kita harapkan. Sudah tentu kami akan membawa usul berkenaan PRN Sabah sama ada dari sayap parti atau bukan sayap,” katanya.
Penggal ke-16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir secara automatik pada 11 November 2025, kecuali dibubarkan lebih awal. Tempoh lima tahun penggal dikira mulai sidang pertama Dewan tersebut yang berlangsung pada 12 November 2020
Berikutan itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran automatik tersebut yang menjadikan tarikh terawal PRN diadakan adalah pada atau sebelum 7 Disember 2025. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.