
KUALA LUMPUR | 13 Jan 26 – Peguam kanan, Haniff Khatri menegaskan bahawa keputusan Pejabat Peguam Negara menggugurkan 47 pertuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, pada 4 September 2023, menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan integriti budi bicara pihak tersebut.
Dalam kenyataannya, Haniff menegaskan bahawa isu bukan mengenai hak pejabat Peguam Negara untuk menyiasat semula mana-mana kes jenayah, tetapi cara dan proses pengguguran pertuduhan terhadap Zahid Hamidi.
Beliau menekankan bahawa pertuduhan tersebut digugurkan selepas Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 Disember 2022, diikuti representasi Pejabat Peguam Negara.
“Dusuki Mokhtar sendiri hadir di mahkamah pada 4 September mewakili Pejabat Peguam Negara untuk memohon pengguguran pertuduhan. Beliau wajar tahu kedudukan dan alasan keputusan dibuat, tetapi sehingga kini tiada penjelasan jelas tentang pegawai yang membuat keputusan itu,” kata Haniff dalam satu rakaman video, semalam.
Beliau turut menekankan tempoh dua tahun, empat bulan, dan empat hari sebelum keputusan No Further Action (NFA) diumumkan pada 8 Januari 2026, sambil mempersoalkan sama ada keputusan itu diambil dengan telus dan berpandukan amanah, atau ada kepentingan politik kerana tertuduh adalah Timbalan Perdana Menteri.
Haniff menegaskan bahawa isu ini perlu disiasat secara menyeluruh, dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya didapati wajar.
“Kami akan siasat, dan jika perlu ambil tindakan selepas itu, kami akan ambil,” tambahnya, menekankan keperluan akauntabiliti pejabat Peguam Negara.
Kenyataan Haniff ini muncul susulan kenyataan Dusuki Mokhtar berhubung keputusan AGC memberi status tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes Zahid Hamidi.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilaporkan berkata pihaknya bukan bertindak atas ‘dasar suka suka’ dalam menentukan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) sebaliknya, beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira fakta dan undang-undang dibangkitkan dalam representasi oleh peguam yang mendorong pihaknya bertindak menyemak semula kes berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.