Pelaksanaan Rasionalisasi Subsidi RON95 Tergesa-Gesa, Kata Gerakan

KUALA LUMPUR, 28 Mei 25 – Presiden  Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 yang dirancang bermula pada separuh kedua tahun ini, sambil menyifatkannya sebagai langkah tergesa-gesa dan belum bersedia dari segi pelaksanaan teknikal mahupun komunikasi dengan pihak berkepentingan.

Menurut beliau, kerajaan tidak sepatutnya bertegas untuk melaksanakan subsidi tersebut selagi belum dikenal pasti dengan jelas golongan yang layak menerima bantuan itu.

Tambah beliau, tiada sebarang rundingan atau maklum balas telah diberikan kepada pengusaha stesen minyak setakat ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut.

“Sehingga bulan Mac, kerajaan masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan pihak berkaitan. Jika dilaksanakan secara tergesa-gesa, ia hanya akan mencetuskan kekeliruan, gangguan operasi serta membebankan pengusaha dan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan pengusaha stesen minyak untuk melaksanakan sistem baharu berdasarkan MyKad, memandangkan kekangan tenaga kerja di kaunter yang terhad.

Katanya, kerajaan masih belum menjelaskan secara terperinci bagaimana mekanisme subsidi itu akan berfungsi – sama ada dimasukkan terus ke dalam MyKad atau sekadar digunakan sebagai pengesahan kelayakan.

“Jika benar kerajaan mahu melaksanakan rancangan ini pada 1 Julai, maka pengusaha stesen minyak akan menjadi mangsa pertama kesan pelaksanaannya. Tanpa komunikasi berkesan, ia akan menjejaskan kejayaan program secara keseluruhan,” katanya.

Dominic turut mengingatkan bahawa sebarang dasar yang melibatkan rakyat dan peniaga tidak seharusnya ditentukan secara tertutup.

Sebaliknya, proses rundingan terbuka dengan semua pihak berkepentingan perlu diutamakan bagi memastikan pelaksanaan yang lebih realistik dan menyeluruh.

“Jika ini benar-benar kerajaan Madani, pelaksanaannya juga perlu mencerminkan prinsip kemakmuran bersama. Rakyat mungkin hanya ‘sentuh dan terus isi minyak’, tetapi pengusaha perlu masa dan persediaan teknikal untuk menyesuaikan diri,” katanya lagi.

Beliau menggesa kerajaan agar tidak memaksa pelaksanaan tanpa persiapan rapi, kerana keputusan terburu-buru bukan sahaja menyusahkan rakyat malah boleh menggagalkan objektif sebenar subsidi bersasar tersebut. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share