
KUALA LUMPUR, 21 Jul 25 – Sebanyak 12 parti-parti politik yang bertemu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dalam usaha menjadi satu kuasa pembangkang yang kuat fokus untuk menukar kerajaan hari ini, kata Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali.
Barisan pembangkang yang bersatu itu terdiri daripada pelbagai parti politik berlainan latar belakang akan memberikan tumpuan kepada isu-isu rakyat seperti peningkatan kos sara hidup dan ekonomi yang menjejaskan segenap lapisan masyarakat.
“Fokus untuk ubah kerajaan, maknanya kita tumpu pada isu yang ada persamaan, macam contohnya kos sara hidup rakyat, isu rasuah, salah guna kuasa, kroni, nepotisme, penyalah gunaan kuasa, isu yang ada kepentingan bersama, yang ada persamaan, isu lain kita tak sentuh,” katanya, kepada politiko.my.
Ibrahim juga berkata, barisan pembangkang bersatu itu tidak berjuang atas jalur kaum dan agama.
“Tidak ada bincang payung besar Melayu. Kita platform pembangkang yang wujud ini tidak sentuh soal kaum dan agama, untuk tumpu PRU16, isu utama yang akan kita beri tumpuan termasuklah kos sara hidup, inflasi, ini semua rakyat kena, Melayu, Cina, India tanggung beban, tanggung derita, ini kita fokus,” katanya lagi.
Katanya, mereka juga masih terbuka untuk menerima penyertaan daripada mana-mana pihak yang berhasrat untuk turut serta dalam perjuangan tersebut.
“Setakat yang ada sebelum ini 12 parti, kita masih terbuka kepada mana-mana parti tak kira besar, kecil, kita iktiraf, semua pihak penting kita tak pandang rendah esiapa pun, kita terbuka, semua pihak boleh sertai asalkan matlamatnya untuk tukar kerajaan.
“Kita berpendapat parti politik di luar kerajaan patut jadi satu kuasa ‘United Front’ maknanya jadi barisan pembangkang bersatu dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk mengubah kerajaan
“Kita bukan gabungan formal sekadar bentuk kerjasama sebagai parti pembangkang, dari segi struktur tidak ada sebab kita tak daftar,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.