
GUM-GUM, 23 NOV — Perikatan Nasional (PN) meneruskan siri kempen Pilihan Raya Negeri Sabah, di N.50 Gum-Gum yang menampilkan calon anak tempatan, Yunus Nurdin figura yang cukup dikenali oleh penduduk Sandakan dan Libaran kerana penglibatannya yang lama dalam kerja kemasyarakatan.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PN Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Yunus yang lebih mesra digelar “Yunus Gajah”, bukan sahaja mempunyai latar belakang pendidikan serta kerjaya yang kukuh, malah komited membantu menyelesaikan masalah-masalah masyarakat sejak sekian lama.
“Dalam PRU Sabah 2025, Yunus kembali menawarkan khidmat dengan kecekalan, kejujuran dan kesetiaan. Jika beliau diberi mandat, insya-Allah masa depan Gum-Gum akan menjadi lebih baik dan cerah,” kata Hamzah dalam kenyataannya hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa terharu atas sokongan luar biasa yang diterima PN di Gum-Gum sepanjang siri ceramah dan jelajah calon berkenaan. “Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita semua dalam perjuangan ikhlas untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
Hamzah turut menyeru pengundi Gum-Gum agar memilih calon nombor satu, Yunus Nurdin, sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu.
“Kasi bagus Gum-Gum, kasi bagus Sabah,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.