
KUALA LUMPUR, 17 Jul 25 – Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Yadzil Yaakub mengkritik kerajaan negeri, susulan permohonan semakan tarif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi tahun kedua berturut-turut.
“Tahun 2024 tarif air dah ada kenaikan. Tahun ni ada lagi cadangan semakan tarif air. Yang pasti tarif akan naik tak pernah turun,” kata Adun Bemban itu dalam catatan Facebook.
Yadzil turut melampirkan kenyataan media SAMB bertarikh 13 Julai yang mengesahkan syarikat sedang mendapatkan kebenaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyemak semula caj air di Melaka.
SAMB dilapor telah melaraskan tarif mereka pada Feb tahun lepas, yang menyaksikan kenaikan harga purata sebanyak 16 sen untuk setiap meter padu bagi kategori domestik.
“Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kata untung SAMB meningkat tahun 2024, dari RM266 juta pada tahun 2023 kepada RM309 juta.
“Tahun 2023 SAMB untung RM2.62 juta. Umum bonus RM3.07 juta untuk kakitangan dan RM0.74 juta pula untuk Lembaga Lembaga Pengarah yang pengerusinya adalah ketua menteri.
“Setakat Disember 2023 hutang SAMB dengan kerajaan negeri berjumlah RM61.08 juta. Itu pun mampu bayar RM3 juta pada tahun 2023. Lebih rendah dari yang ditetapkan.
“Untung berjuta-juta. Hutang tak mampu bayar. Tapi mampu beri bonus lebih besar dari untung tahunan,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.