
KUALA LUMPUR | 2 Mac 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, menggesa pembangkang perlu terus memberi tumpuan kepada agenda besar negara termasuk agenda reformasi institusi dan isu global, bukannya terheret dalam polemik pertukaran Ketua Pembangkang.
Menurut beliau, ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan dalam negara sedang membahaskan isu pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri, keutamaan pembangkang seharusnya tertumpu kepada perjuangan dasar.
“Kita sedang berdepan isu besar yang menyentuh masa depan sistem pentadbiran negara. Ini bukan masa untuk berpolitik soal jawatan,” katanya.
Beliau daam satu kenyataan menyifatkan tuntutan menukar Ketua Pembangkang sebagai usaha yang tidak berbangkit memandangkan sokongan terhadap Hamzah kekal kukuh.
Dalam sidang media pada 27 Februari lalu, pimpinan PAS menyatakan seramai 19 Ahli Parlimen pembangkang menyokong Hamzah, sekali gus menandakan kedudukan beliau tidak tergugat.
“Dalam sidang media pada 27 Februari, apabila ditanya berapa orang menyokong Dato Seri Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, Tan Sri Presiden PAS berkata “Setahu saya yang sokong Dato Seri Hamzah, campur dengan dia ada 19 orang. Daripada kita 43.”
“Maksudnya sokongan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terhadap Hamzah adalah jitu dan hal pertukaran tak berbangkit. Kata mantan MPT BERSATU ini.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar pembangkang tidak terperangkap dengan polemik dalaman sehingga mengabaikan tanggungjawab memperjuangkan isu rakyat.
“Perjuangan sebenar kita adalah mengangkat agenda rakyat dan mempertahankan kepentingan negara,” katanya.
Wan Saiful turut mencabar pihak yang mendesak perubahan supaya secara terbuka menamakan calon alternatif dan menguji sokongan di Dewan Rakyat, jika benar mempunyai angka mencukupi.
Terdahulu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berulang kali membuat kenyataan terbuka, mendesak PN menukar Ketua Pembangkang, Dato Seri Hamzah Zainudin yang telah dipecat BERSATU awal Februari lalu.
Namun sehingga kini, pimpinan PN dan PAS menegaskan bahawa status Hamzah sebagai Ketua Pembangkang terus kekal. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.