
KUALA LUMPUR, 26 DIS 25 — Negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa kerajaan Malaysia agar mempergiat serta memperluas bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Sumatera Utara, khususnya di Aceh, yang kini berdepan kesan bencana besar.
Menurut Mahathir, Aceh mempunyai kedudukan geografi yang penting kepada Malaysia kerana terletak di bahagian barat Semenanjung, sekali gus berfungsi sebagai benteng semula jadi yang mengurangkan kesan bencana alam tertentu ke atas negara ini.
Kenyataan itu disampaikan menerusi satu siaran video yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi beliau, semalam.
Dalam perkongsian sama, Mahathir turut mengimbau tragedi tsunami pada tahun 2004 yang menyaksikan Aceh merekodkan angka korban terbesar, dianggarkan sekitar 167,000 orang, berbanding Malaysia yang mencatatkan 67 kematian, sebahagian besarnya disebabkan faktor perlindungan geografi tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar menghulurkan sumbangan kemanusiaan kepada Komiti Peralihan Aceh (KPA) Pusat, sebuah organisasi yang terlibat secara langsung dalam usaha kebajikan, penyelarasan bantuan serta pemulihan pasca bencana di wilayah berkenaan.
Untuk rekod, seramai 1,135 orang dilaporkan meninggal dunia akibat bencana berkenaan, manakala 173 orang masih dilaporkan hilang. Selain itu, kira-kira 4,900 individu mengalami kecederaan, dengan 52 kabupaten atau bandar dilaporkan terjejas.
Mahathir menegaskan bahawa bantuan kepada Aceh bukan sahaja bersifat kemanusiaan, malah mencerminkan penghargaan terhadap peranan strategik wilayah itu dalam melindungi Malaysia daripada kesan bencana alam berskala besar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.