Penahanan Wartawan Keterlaluan, Jejas Kebebasan Bersuara – Aktivis Palestin

KUALA LUMPUR | 18 Jan 26 — Penahanan wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, di bawah Akta Hasutan disifatkan sebagai tindakan yang tidak perlu, tidak seimbang dan keterlaluan, selain berpotensi melemahkan kebebasan bersuara serta merosakkan perjuangan solidariti Palestin di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Tian Chua daripada Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap Rex Tan tidak membantu memperjelaskan isu Palestin, sebaliknya mencetuskan kesan negatif terhadap ruang demokrasi dan wacana awam.

“Penahanan wartawan Free Malaysia Today, Rex Tan, di bawah Akta Hasutan adalah tidak perlu dan bersifat kontra-produktif. Katanya.

Menurut beliau, forum awam sepatutnya berfungsi sebagai medan dialog terbuka untuk mencabar salah faham, persepsi silap dan maklumat tidak tepat, bukannya ruang untuk menghukum pandangan atau soalan yang dianggap kontroversi. Beliau turut memaklumkan bahawa Rex Tan sendiri telah mengakui soalan yang dikemukakan dalam forum berkenaan sebagai tidak sensitif dan tidak sesuai dengan konteks.

Walaupun soalan tersebut wajar dikritik, Tian Chua berpandangan adalah keterlaluan untuk mengaitkannya dengan niat hasutan atau berniat jahat, apatah lagi sehingga mencetuskan tindakan jenayah. Menurutnya, pendekatan sedemikian mencerminkan tindakan yang tidak sepadan dengan situasi sebenar.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan polis dalam kes ini membawa implikasi lebih besar terhadap kebebasan bersuara. Penindasan terhadap perbincangan terbuka, katanya, merupakan satu bentuk serangan langsung terhadap prinsip demokrasi dan hak menyuarakan pandangan secara aman.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah implikasi yang lebih luas: penindasan terhadap perbincangan terbuka merupakan satu serangan langsung terhadap kebebasan bersuara. Ujar Tian.

Dalam masa yang sama, Tian Chua menegaskan bahawa mengkriminalkan ucapan tidak akan membantu perjuangan solidariti Palestin, malah berisiko melemahkannya. Kesalahfahaman yang wujud dalam kalangan masyarakat, katanya, perlu ditangani melalui dialog, pendidikan dan perbahasan terbuka, bukan melalui tindakan menghukum.

Terdahulu, media melaporkan wartawan FMT, Rex Tan, ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan susulan satu soalan yang dikemukakannya dalam sebuah forum awam berkaitan isu Palestin, sebelum dibebaskan selepas keterangan diambil. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share