
KUALA LUMPUR | 27 Mac 26 — Cadangan bekerja dari rumah (BDR) sebagai langkah mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mengundang kritikan, apabila pembangkang menyifatkannya sebagai “penyelesaian separuh masak” yang tidak menyelesaikan masalah sebenar kos sara hidup.
Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, langkah itu bukan sahaja gagal menangani punca kenaikan kos, malah berpotensi memindahkan beban kepada rakyat dalam bentuk lain, khususnya peningkatan bil utiliti isi rumah.
“Hakikatnya, ia hanya memindahkan beban kepada kos lain seperti peningkatan bil elektrik isi rumah, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas yang memaksa penggunaan tenaga lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, cadangan tersebut dilihat tidak menyentuh kesan menyeluruh kenaikan harga petrol dan diesel yang memberi tekanan rantaian kepada ekonomi, termasuk kos pengangkutan, harga barangan dan operasi perniagaan kecil.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan mampu memberi jaminan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat, sekiranya penggunaan tenaga domestik terus meningkat susulan pelaksanaan BDR.
“Persoalannya, apakah jaminan kerajaan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan selepas ini?” katanya.
Dalam masa sama, Yadzil menegaskan bahawa kenaikan harga minyak telah memberi kesan langsung kepada pelbagai sektor termasuk pertanian, runcit dan pembinaan, dengan peniaga kecil antara yang paling terkesan.
Katanya, dalam keadaan margin keuntungan yang semakin mengecil, terdapat risiko sebahagian perniagaan terpaksa mengurangkan operasi atau memberhentikan pekerja bagi meneruskan kelangsungan.
Beliau juga menyifatkan pendekatan kerajaan dalam menangani isu tersebut sebagai tidak mencukupi, selain mendakwa tiada pelan komprehensif bagi melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana daripada tekanan kos sara hidup.
“Jika dalam isu asas seperti kenaikan harga minyak pun kerajaan gagal mengurus dengan baik, apakah jaminan rakyat bahawa kerajaan mampu berdepan krisis lebih besar pada masa hadapan?” katanya.
Kerajaan sebelum ini dilaporkan menggesa rakyat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa susulan tekanan global, termasuk mempertimbangkan pengaturan kerja lebih fleksibel seperti bekerja dari rumah bagi mengurangkan kos perjalanan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.