
KUALA LUMPUR, 25 OGOS 25 – Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan pihaknya menerima notis tuntutan dari peguam mewakili Datuk Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas timbalan presiden PKR dalam kenyataan berkata, surat itu mengkehendakinya berhenti mengeluarkan kenyataan dan meminta maaf, kepada Farhash.
Ia dipercayai berhubung satu kenyataan yang mengesahkan pemberi maklumat adalah berkaitan urusniaga syarikat yang berkaitan Farhash.
“Kenyataan saya itu adalah satu penyataan fakta.
“Oleh itu, saya bersedia mempertahankan fakta-fakta tersebut di mahkamah,” kata Rafizi.
Malah, ahli Parlimen Pandan itu turut memberi jaminan akan membangkitkan pelbagai persoalan berkaitan Farhash di mahkamah kelak.
“Saya telah menyerahkan perkara ini untuk tindakan selanjutnya kepada peguam saya, Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri.
“Saya berpandangan sekiranya Datuk Wira Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam-peguam saya berpeluang menanyakan soalan-soalan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak selama ini,” katanya.
Terdahulu, Rafizi dalam satu kenyataan telah mendedahkan bahawa serangan ke atas anaknya berlaku selepas perjumpaannya dengan pembocor maklumat berkaitan dengan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.