
KUALA LUMPUR | 9 Sep 26 – Pendekatan akomodatif MCA terhadap masyarakat Melayu yang diketengahkan pemimpin parti itu, Neow Choo Seong, kini dipersoalkan pemimpin DAP, Teng Chang Khim.
Neow menyuarakan pandangan tersebut ketika muncul dalam podcast PIXELive, dengan menekankan pentingnya masyarakat Cina memahami keterbukaan serta sensitiviti masyarakat Melayu, khususnya berkaitan kaum dan agama.
Menurut Neow, masyarakat Melayu pada asalnya merupakan kelompok yang terbuka dan sifat tersebut antara faktor yang membolehkan wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa penerimaan masyarakat Melayu terhadap masyarakat Cina dan India mempunyai sejarah yang panjang.
Sebagai contoh, Neow membawa kisah ketika Tanah Melayu diserang tentera Jepun, apabila terdapat orang Melayu yang memberikan perlindungan kepada masyarakat Cina.
Beliau turut menceritakan mengenai kanak-kanak Cina yang diberikan kepada keluarga Melayu untuk dijaga dan dibesarkan bagi menyelamatkan mereka ketika pendudukan Jepun.
Bagi Neow, kisah tersebut menggambarkan sifat keterbukaan masyarakat Melayu yang perlu diakui dan dihargai.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa semua pihak perlu memahami sensitiviti masyarakat Melayu sekiranya mahu hidup dalam keadaan aman dan damai.
Namun, pendekatan tersebut mendapat kritikan Teng yang mengulas kenyataan Neow menerusi Facebook beliau semalam.
Teng menyifatkan Neow sebagai mengikuti “Malay nationalist discourse”, atau “wacana nasionalis Melayu”.
Dalam kenyataannya, Teng berkata:
“This new elite from the Malaysian Chinese Youth Organization (MCA) likes to follow the Malay nationalist discourse, constantly flattering and fawning on the Malay society…”
“Golongan elit baharu daripada Pertubuhan Belia Cina Malaysia (MCA) ini gemar mengikuti wacana nasionalis Melayu, sentiasa memuji dan mengampu masyarakat Melayu…”
Teng turut mempersoalkan naratif yang menurutnya dibawa Neow bahawa masyarakat Cina perlu berterima kasih kepada orang Melayu.
“…saying that Chinese people must be grateful to the Malays…”
“…dengan mengatakan bahawa orang Cina mesti berterima kasih kepada orang Melayu…”
Beliau kemudian menyamakan pandangan itu dengan sesetengah orang Cina Muslim dan sarjana yang, menurutnya, menganggap diri mereka sebagai Melayu.
Teng turut mempersoalkan sama ada kepimpinan MCA bersetuju dengan pandangan Neow.
“…it is unknown whether the MCA leaders also agree with his views.”
“…tidak diketahui sama ada pemimpin-pemimpin MCA turut bersetuju dengan pandangan beliau.”
Kenyataan Teng itu memperlihatkan wujudnya perbezaan pendekatan antara MCA dan DAP dalam melihat hubungan masyarakat Cina dengan Melayu.
Neow mengambil pendekatan yang menekankan penghargaan terhadap keterbukaan masyarakat Melayu, pengiktirafan terhadap sejarah hubungan antara kaum serta keperluan memahami sensitiviti Melayu sebagai asas kepada keharmonian.
Sebaliknya, Teng mempersoalkan pendekatan tersebut dengan mengaitkannya dengan wacana nasionalis Melayu, selain mengkritik apa yang dilihatnya sebagai kecenderungan untuk terlalu memuji masyarakat Melayu.
Perbezaan ini menimbulkan persoalan lebih luas mengenai bentuk hubungan antara kaum yang ingin diketengahkan oleh parti-parti politik.
Krtikan pemimpin DAP ini menimbulkan persoalan adakah pendekatan akomodatif dengan memahami sensitiviti masyarakat Melayu dan mengiktiraf sejarah hubungan Melayu-Cina merupakan satu keperluan dalam masyarakat majmuk?
Pertembungan pandangan Neow dan Teng itu akhirnya memperlihatkan satu persoalan yang lebih besar dalam politik masyarakat majmuk Malaysia: sejauh mana usaha mendekati masyarakat Melayu boleh dilakukan oleh parti politik demi mengekalkan keharmonian tanpa mengorbankan atau mengubah pendirian politiknya sendiri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.