Penganalisis: Pemilihan Calon PM Perlu Dirunding Seperti Lantik Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, 9 Sep 25 – Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri (PM) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat sebagai strategi dalaman parti dan bukan keputusan muktamad bagi Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi.

Menurut beliau, langkah itu lebih kepada usaha mengawal perbezaan dalam BERSATU sendiri, susulan wujud tanda-tanda perpecahan antara penyokong dan penentang Muhyiddin, termasuk ketika beliau berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan parti.

Namun, tegasnya, calon PM PN mesti diputuskan melalui perundingan bersama parti-parti komponen lain seperti PAS dan Gerakan.

“Selagi ada persefahaman sedemikian, pengumuman semalam sepatutnya tidak membawa masalah,” katanya.

Ahmad Fauzi membandingkan situasi ini dengan proses melantik Ketua Pembangkang di Parlimen. Katanya, walaupun PAS adalah parti terbesar dalam PN, pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari Bersatu sebagai Ketua Pembangkang tetap dipersetujui selepas rundingan bersama.

“Pokoknya, rundingan antara parti itu berlaku, dan semua pihak dalam PN berpuas hati. Begitu juga untuk calon PM, persetujuan bersama amat penting supaya tidak timbul isu perebutan atau dominasi satu parti ke atas yang lain,” ujarnya.

Terdahulu, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini telah meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share