
KUALA LUMPUR | 12 Jun 26 – Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat kepada 3.0 peratus pada April 2026 selepas merekodkan 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai momentum pemulihan pasaran buruh negara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penganggur meningkat kepada 511,800 orang berbanding 509,000 orang pada Mac, manakala kadar pengangguran kembali ke paras yang pernah dicatatkan pada Oktober tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun bilangan penduduk bekerja terus meningkat kepada 16.82 juta orang, jumlah penganggur turut menunjukkan trend menaik dengan pertambahan 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Data itu turut menunjukkan kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada 10.2 peratus melibatkan 290,800 orang, manakala pengangguran belia berusia 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 6.3 peratus dengan 394,700 penganggur direkodkan.
Walaupun pasaran buruh secara keseluruhan masih berkembang secara sederhana, peningkatan semula kadar pengangguran dilihat sebagai petunjuk bahawa ekonomi negara masih berdepan cabaran untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi, khususnya bagi golongan muda.
DOSM bagaimanapun menegaskan pasaran buruh negara kekal stabil dengan sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian terus mencatat pertumbuhan positif dalam guna tenaga. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.