Penguatkuasaan SSM Terhadap PKS Dikhuatiri Jejas Aliran Tunai Perniagaan – Kata Bersatu

KUALA LUMPUR, 16 DIS 25 — Pelaksanaan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) susulan pemfailan penyata kewangan beraudit melalui sistem Malaysian Business Reporting System (MBRS) didakwa  menjejaskan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Dr Mohd Yadzil Yaakub mendakwa, langkah itu memberi kesan terhadap aliran tunai dan kelangsungan perniagaan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, itu berkata terdapat pengarah dan pemilik PKS yang menerima notis kompaun selepas memfailkan akaun beraudit yang mengandungi teguran seperti ‘qualified’, ‘adverse’ atau ‘disclaimer’, walaupun laporan tersebut dikemukakan secara telus dan mengikut keperluan undang-undang.

Malah jumlah penalti yang dikenakan, antara RM40,000 hingga RM50,000 terhadap syarikat dan RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap pengarah, berpotensi memberi tekanan kewangan, terutamanya kepada PKS berskala kecil dan sederhana.

“Walaupun terdapat tawaran diskaun kompaun, baki jumlah yang perlu dibayar masih memberi kesan kepada aliran tunai syarikat yang sedang berdepan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Adun Bemban itu menjelaskan banyak teguran audit lazimnya berpunca daripada faktor operasi dan ekonomi, termasuk hutang lapuk, penilaian inventori, dokumentasi tidak lengkap serta isu going concern, dan bukan semestinya melibatkan penipuan atau salah laku disengajakan.

Jelasnya lagi, PKS kini beroperasi dalam persekitaran yang mencabar berikutan peningkatan kos operasi seperti gaji minimum, caruman statutori, bil utiliti dan kos pematuhan terhadap peraturan baharu.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan agar pendekatan penguatkuasaan mengambil kira konteks dan tahap risiko, termasuk membezakan kesalahan teknikal daripada salah laku serius, selaras dengan prinsip penguatkuasaan berkadar.

Pihaknya turut menyarankan agar isu berkaitan denda pentadbiran RM5,000 bagi kegagalan mengemas kini maklumat tahunan MBRS diteliti semula, khususnya bagi syarikat mikro, tidak aktif atau beroperasi secara minimum.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan amaran awal, tempoh pembetulan serta program literasi dan kesedaran tadbir urus korporat bagi pengarah PKS sebelum tindakan penalti dikenakan.

“Pendekatan yang lebih seimbang diyakini dapat membantu PKS memperkukuh pematuhan, tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share