
KUALA LUMPUR | 4 Jun 26 — Malaysia perlu mempunyai visi pembangunan yang lebih besar daripada sekadar menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat hiburan serantau, sebaliknya membina ibu negara sebagai kota ilmu, inovasi, kewangan dan peradaban Asia.
Exco Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi & Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sesebuah negara besar tidak seharusnya dinilai melalui kemeriahan pentas hiburan semata-mata, tetapi berdasarkan kekuatan ilmu, ekonomi, nilai dan pengaruh tamadunnya.
Beliau berkata, cadangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai “Hub Hiburan Asia” perlu diteliti kerana ibu negara bukan sekadar sebuah bandar raya, tetapi mencerminkan identiti negara dan hala tuju masa depan.
“Persoalan yang lebih besar ialah adakah menjadikan hiburan sebagai identiti utama Kuala Lumpur merupakan aspirasi terbaik yang boleh ditawarkan kepada generasi akan datang?” katanya dalam kenyataan di facebook.
Menurut beliau, industri hiburan tetap mempunyai peranan dalam ekonomi, namun ia tidak seharusnya menjadi asas utama kepada imej dan pembangunan sebuah negara.
Beliau memberi contoh bandar raya utama dunia seperti New York, London, Singapura dan Tokyo yang dikenali melalui kekuatan kewangan, pendidikan, teknologi serta inovasi.
Katanya, Kuala Lumpur mempunyai potensi lebih besar berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah ASEAN untuk menjadi pusat pertumbuhan ekonomi, intelektual dan teknologi serantau.
“Kenapa kita mahu bersaing menjadi pusat hiburan sedangkan kita boleh menjadi pusat kewangan Islam terbesar dunia? Kenapa kita mahu dikenali kerana konsert sedangkan kita boleh dikenali kerana universiti, penyelidikan dan inovasi?” katanya.
Dr Haim Hilman berkata, Malaysia sepatutnya membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan Islam global, hab teknologi dan kecerdasan buatan (AI), pusat penyelidikan serta lokasi diplomasi antarabangsa.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan berasaskan hiburan secara berlebihan boleh membawa cabaran sosial yang perlu diberi perhatian.
Menurutnya, kemajuan tidak bermaksud meniru model pembangunan negara lain secara membuta tuli, tetapi membina kejayaan berdasarkan identiti dan kekuatan sendiri.
“Kuala Lumpur seharusnya berdiri sebagai kota ilmu, kota kewangan, kota inovasi, kota diplomasi dan kota peradaban,” katanya.
Beliau berkata, sejarah tidak mengingati sesebuah negara kerana gemerlapan pentasnya, tetapi kerana sumbangan pemikiran, kepimpinan dan tamadun yang dibina.
Justeru, Malaysia perlu membawa cita-cita lebih besar agar Kuala Lumpur menjadi simbol kemajuan Asia, bukan sekadar destinasi hiburan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.