Oleh : Teo Kok Seong

Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu (BM) sebagai naskhah sahih bukan sahaja amat diperlukan. Juga ia penting sekali.
Ini kerana setelah tertubuhnya negara pada 1957 atas nama Persekutuan Tanah Melayu dan 1963 atas nama Persekutuan Malaysia, tidak keterlalauan jika dikatakan bahawa perkara sepenting dan senasional ini sepatutnya sudah lama berlaku, yakni telah diselesaikan lama dahulu lagi.
Namun begitu, ia masih tidak lewat daripada tidak dilakukan langsung.
Ia amat diperlukan dan penting sekali untuk pembinaan negara (state building) itu sendiri. Dengan adanya naskhah BM sebagai yang sahih, ia sebenarnya mengukuhkan instititusi yang amat diperlukan negara sebagai bumi Melayu-Islam.
Ini wajib begitu kerana bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini, bukan sahaja mewakili negara dan rakyat sebagai bahasa kebangsaan. Juga wajib digunakan dalam ranah kenegaraan selaku bahasa rasmi.
Dengan adanya naskhah sahih dalam BM ini, ia sebenarnya mewujudkan legitimasi nasional pada mata rakyat negara ini sendiri dan juga pada warga dunia. Ini kerana Malaysia bukan sahaja dilihat, malah memang pun memiliki identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Dalam hal ini, identiti nasional merujuk kepada jati diri kebangsaan bersama yang merentas etnisiti dan agama. Manakala identiti budaya adalah pelestarian warisan yang sememangnya adalah sejarah, nilai dan aspirasi bumi Melayu-Islam ini.
Selain ia amat diperlukan dan penting sekali untuk pembinaan negara, ia juga begitu bagi pembentukan bangsa (nation building). Ini kerana dengan institusi bahasa Melayu selaku bahasa negara diperkasa dalam pembinaan negara, ia akan seterusnya memupuk perasaan kekitaan pada pembentukan bangsa, yakni komuniti nasional.
Dengan ini, perasaan kekitaan ini akan mengikat kita yang berbilang etnisiti dan agama bukan sahaja dengan negara tercinta ini. Juga kepada satu set nilai yang sama-sama kita kongsi bersama, walaupun berbagai-bagai etnisiti dan agama, sebagai satu bangsa, iaitu komuniti nasional.
Dengan tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956 yang telah membangunkan bahasa Melayu dengan cemerlang sekali, iaitu daripada sebuah vernakular etnik Melayu sebelum merdeka, kepada bahasa negara apabila kita merdeka, sesungguhnya bahasa Melayu sudah pun mencapai status bahasa sainstifik moden.
Sebagai bahasa saintifik moden, ini bermakna bahasa Melayu mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abtsrak, dalam apa-apa jua bidang ilmu, termasuklah perundangan.
Bahasa Melayu menjadi sedemikian berjaya lagi cemerlang kerana korpusnya, yakni sistem sebutan, ejaan, tulisan, pembentukan kata dan ayat, kejelasan makna, haluan wacana dan lain-lain, setelah dibangunkan dengan baik oleh DBP.
Sehubungan ini, bahasa Melayu laras undang-undang sudah pun wujud dan telah berkembang dengan jayanya, bersama-sama ratusan laras yang lain.
Persoalannya di sini ialah sikap kita terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang sekali gus mendukung peranan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Sebenarnya masalah bahasa Melayu lebih merupakan persoalannya sebagai bahasa rasmi, iaitu wajib digunakan secara baik dan betul selain meluas, lebih-lebih lagi dalam ranah kenegaraan.
Inilah persoalannya dengan isu naskhah sahih dalam BM yang sudah lama tertangguh itu.
Sebenarnya, maju mundur bahasa Melayu, sama ada sebagai bahasa kebangsaan, mahupun selaku bahasa rasmi, terletak sepenuhnya pada kerajaan.
Ini kerana akibat dan kesan terhadapnya daripada kerajaan, pasti akan mempengaruhi keberadaan semasa dan kelangsungan mendatang bahasa Melayu di negara ini.
Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN)
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.