
KUALA LUMPUR, 2 Ogos 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran tidak bermain sandiwara dalam isu kekayaan anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tan Sri Rais Yatim.
Menurut Rais, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berpuas hati dengan perisytiharan oleh Tan Sri Mokhzani dan Mirzani sebelum ini.
“Jika SPRM hendak mara lagi, biarlah Pendakwaraya ambil peranan ‘staturory’ masing-masing. Tidak perlu seorang perdana menteri yang berwibawa tumpang semangkuk dengan kenyataan yang cukup bersifat bertentangan.
“Seseorang itu tidak bersalah sehingga dihakimi mahkamah. Kenyataan PMX itu mendahului kuasa dan peranan SPRM dan mahkamah. Kenyataan itu memprejudis kes dalam siasatan dan berupa salahguna kuasa,” kata Rais, dalam hantaran media sosial
Tambahnya, anak-anak Dr Mahathir sudah melalui proses sepatutnya ditetapkan SPRM.
“Pihak berkuasa ialah SPRM bukan PMX dalam kes dan siasatan ini. Asingkan kuasa dan dasar asingkan fungsi ini wajib dipatuhi.
“Jika tidak negara dan rakyat akan porak-peranda. Konvensyen dan undang-undang akan jadi bahan lawak jenaka,” kata Rais lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.