
Perjanjian perdagangan timbal-balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat telah ditandatangani pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur semasa lawatan presiden AS.
Ia digambarkan oleh kerajaan Malaysia sebagai suatu kejayaan bagi membolehkan akses dagang yang lebih kukuh ke pasaran AS dan menstabilkan tarif eksport Malaysia.
Broadsheet Asia
Namu, banyak kritikan muncul selepas itu, baik dari mantan perdana menteri, ahli parlimen kerajaan seperti Hassan Karim, Datuk Seri Rafizi serta ahli-ahli parlimen pembangkang, dan media antarabangsa.
Spektrum kritikan ini merangkumi persoalan menilai kos jangka panjang dari segi kedaulatan, kedaulatan dasar ekonomi dan kedudukan geostrategik negara mungkin jauh lebih besar.
Salah satu titik kritikan yang paling keras datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyatakan bahawa perjanjian ini “melanggar Perlembagaan Persekutuan” dan menurutnya, ART secara konteksnya telah menjadikan kita “kehilangan negara”.
Mahathir dan pengkritik antarabangsa menegaskan bahawa Malaysia boleh “mengikuti” tindakan AS terhadap pihak ketiga meskipun ia tidak selaras dengan kepentingan Malaysia sendiri.
Malah Mahathir menegaskan bahawa kerajaan tidak mendapatkan persetujuan Dewan Rakyat terlebih dahulu dan bahawa perjanjian itu menjejaskan Artikel 153 dan lain-lain peruntukan yang melindungi kedudukan istimewa Melayu/Bumiputera.
Dalam laporan antarabangsa, akhbar The Guardian memetik penganalisis yang menyatakan bahawa Malaysia hampir diarahkan untuk mengikuti sekatan ekonomi AS terhadap negara ketiga menerusi Artikel 5.1 perjanjian, yang “memaksa” Malaysia ke arah penyelarasan dasar dengan AS walaupun ia mungkin menjejaskan kepentingan negara sendiri.
Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberikan ulasan bahawa klausa pemutusan (“exit clause”) yang disertakan hampir tidak mempunyai nilai perlindungan sebenar bagi Malaysia — “boleh ditamatkan” tetapi pada ketika itu hubungan dagang dan diplomatik telah pun rosak kesan jika exit clause itu dilaksanakan.
Beliau menyatakan bahawa komitmen Malaysia dalam perjanjian ini sangat “berat” dari segi patuh kepada syarat dan kurang fleksibiliti dibandingkan negara lain seperti Kemboja. Malah komitmen yang dikemukakan lebih berat ke atas Malaysia seperti yang dipersoalkan oleh Rafizi adalah kerana syarat pematuhan dan pelarasan dasar yang boleh mengikat negara.
Ahli parlimen kerajaan, Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) mendesak agar teks penuh perjanjian didedahkan kepada umum dan menggambarkan ART sebagai “penghinaan” terhadap negara — “tanpa satu bom pun, kita telah serahkan ekonomi dan kekayaan negara kita.”
Ada juga pandangan menyatakan bahawa meskipun perjanjian menyenaraikan pengecualian tarif bagi lebih daripada 1,700 produk Malaysia ke AS, ia masih mengekalkan kadar tarif 19 % untuk eksport Malaysia secara umum. Dan itu dilihat tidak memadai.
Pengulas antarabangsa memberi amaran bahawa perjanjian ini boleh menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai pemain bebas di rantau ASEAN. The Guardian memetik bahawa Malaysia kini “harus bekerja lebih keras supaya tidak terbabas ke dalam sekatan negara lain” dan bahwa perjanjian ini berisiko membawa Malaysia ke posisi pro AS dalam persaingan kuasa besar, bukan lagi neutral seperti dasar Asean.
Kerajaan melalui Menteri Perdagangan dan Perindustrian Tengku Zafrul Aziz dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan perjanjian tersebut sebagai langkah pragmatik. Tengku Zafrul menyatakan bahawa tanpa ART, tarif eksport Malaysia ke AS boleh naik ke 25 % atau lebih — menjejaskan pekerjaan dan kestabilan ekonomi. Bagi kita, ini hujah orang kalah, bukan melawan.
Hujah Anwar menyatakan bahawa “semua negara menandatangani perjanjian, kita juga harus melihat ruang yang kita ada” dan bahawa perjanjian ini bukan sesuatu untuk dielakkan tetapi diurus – lebih kepada ‘alasan diplomatik’, bukan manfaat sebenar.
Secara ringkasnya, Malaysia memperoleh pengecualian tarif untuk sejumlah produk kritikal, akses yang lebih baik ke pasaran AS, dan penurunan tarif dari kadar sebelumnya (25 %) ke 19 %. Namun manfaat ini dilihat sebagai jangka pendek dan terhad kepada sektor tertentu sahaja sedangkan persoalan lebih besar adalah – adakah kelebihan ini mampu menampung kos jangka panjang dari segi dasar dan kedudukan strategik.
Dengan Malaysia lebih terikat ke AS, kedudukan sebagai negara yang bebas dan berhubung dengan China/ASEAN boleh terjejas, memberi tekanan diplomasi yang tidak kelihatan secara langsung oleh sektor ekonomi.
Hakikatnya, proses rundingan dan maklumat teks perjanjian tidak cukup terbuka, ini menimbulkan keraguan sama ada syarat penuh telah atau akan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Perjanjian ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat membawa harapan ekonomi — tetapi analisis ramai menunjukkan bahanya bahawa kos bukan hanya dalam angka eksport, sebaliknya dalam ruang dasar, kedaulatan dan kedudukan strategik Malaysia.
Ulasan Mahathir, Rafizi, Hassan Karim dan liputan antarabangsa menegaskan bahawa negara ini perlu sangat berhati-hati agar perjanjian ini tidak menjadi kompromi terhadap keselamatan dan masa depan negara.
Dalam dunia yang semakin sarat dengan persaingan kuasa besar, Malaysia tidak hanya harus mengejar keuntungan ekonomi tetapi juga mengekalkan kebebasan membuat dasar dan kedaulatan strategiknya. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.