Oleh Ruhanie Ahmad

Kerajaan berjiwa Melayu, tetapi turut prihatin terhadap kepentingan lain-lain kaum dalam Perlembagaan Persekutuan, sudah tidak wujud dalam era selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Inilah kesan perpecahan politik Melayu di abad ke-21. Inilah juga hakikatnya, apabila Melayu yang keluar mengundi dalam PRU15, amat rendah peratusannya berbanding Cina dan India.
Akibatnya, Malaysia sedang dikuasai oleh pendukung the New World Order (NWO); pejuang Malaysian Malaysia; dan pemimpin Melayu yang dianggap telah meminggirkan kepentingan agama, bangsa dan tanah airnya.
NWO atau Tatacara Baharu Dunia, adalah agenda barat yang muncul selepas Perang Dunia II. Ia bercita-cita menubuhkan sebuah kerajaan sejagat yang dipercayai akan dikongkong oleh puak zionis.
Malaysian Malaysia adalah konsep anti-Melayu yang lahir di Singapura pada tahun 1964. Perjuangannya disuburkan oleh sebuah parti politik di negara ini mulai tahun 1965.
Pimpinan utama kumpulan Melayu yang bersekongkol dengan dua anasir ini pula didakwa hanya mementingkan diri sendiri berbanding agama, bangsa dan tanah airnya.
Perkembangan ini melahirkan Proklamasi Orang Melayu (POM), pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang intisari utamanya adalah menyeru Melayu bersatu melangkaui ikatan politik kepartian “demi Agama, Bangsa dan Negara.”
Perjuangan POM semakin diterima ramai. Terutama sekali, apabila Malaysia sekarang dikatakan menjadi “negara ganjil”, penuh amalan pelik, dan diselubungi “iklim ketakutan.”
Sebilangan orang Melayu juga bimbang akan masa depannya mungkin terancam. Bumi tumpah darah mereka yang bernama Tanah Melayu pula mungkin tergadai kedaulatannya kepada kuasa asing buat selama-lamanya.
Lantaran itu, penyatuan yang diusahakan oleh POM perlu melibatkan semua lapisan orang Melayu. Baik yang di dalam atau di luar sistem pemerintahan negara. Sama ada pemimpin dan ahli politik pemerintah atau pembangkang.
Juga perlu dilibatkan adalah Melayu dalam Pertubuhan Bukan Kerajasan (NGO), generasi muda Melayu di semua peringkat, dan warga korporat Melayu dalam pelbagai jurusan.
Secara umum, penyatuan ini adalah untuk mencegah kerajaan sekarang bermaharajalela, menggubal serta melaksanakan undang-undang yang tidak mesra Melayu, meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan kawasan parlimen yang dominan Melayu, atau menghapuskan identiti nasional yang berpaksikan Melayu dalam perlembagaan tersebut.
Secara khusus dan yang pertama, penyatuan ini adalah untuk menyelamatkan Islam selaku Agama Persekutuan yang kini diancam fenomena Islamofopia yang memuncak dan seolah-olah tidak terkawal.
Fenomena ini menjejaskan keharmonian beragama dan mengancam keselamatan jati diri nasional dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kedua, untuk mencegah Melayu selaku bangsa teras, jadi terpinggir di bumi tumpah darahnya sendiri; kuasa politiknya diijnak-injak; dasar, struktur dan sistem sosioekonominya diharu-birukan; hak serta keistimewaannya dalam Perlembagaan Persekutuan pula dipertikaikan.
Ini kerana pemerintah ketika ini seakan-akan tidak mengiktiraf Melayu yang super majority untuk dijadikan paksi kepada dasar pembentukan negara (state-making), pembangunan bangsa (nation-building) dan pembangunan negara (national development).
Ketiga, untuk mengelakkan negara kita, khususnya Tanah Melayu, dikuasai oleh anasir NWO; untuk mencegah pemimpin utama Malaysia jadi proksi NWO; dan untuk menghindarkan negara ini menjadi satelit kepada kuasa zionis.
Semua matlamat ini hanya boleh dicapai jika seluruh pemegang taruh kepada penyatuan Melayu melangkaui ikatan politik kepartian; bertindak secara ikhlas dan jujur, sanggup meminggirkan prasangka antara satu lain, dan tidak bercakaran sesama sendiri.
Terbaharu sekali, POM memperkenalkan slogan “Tanah Aku: Melayu Bersatu” untuk meledakkan cetusan semangat yang lebih kental kepada misi penyatuan ini.
Seribu satu wisdom atau kebijaksanaan, terutama sekali berkaitan strategi kepada penyatuan Melayu, tersirat di sebalik slogan ini.
Lantas, sudikah seluruh kelompok Melayu bersatu melangkaui ikatan politik; demi agama, bangsa dan tanah airnya?
Sanggupkah seluruh pemimpin parti politik Melayu yang di dalam kerajaan atau di barisan pembangkang; meminggirkan ego serta kepetingan peribadi masing-masing demi menjayakan misi ini?
Sanggupkah seluruh pemegang taruh kepada penyatuan Melayu duduk semeja untuk memperincikan matlamat dan menghalusi strategi misi ini?
Atau, adakah Melayu hanya mahu bersatu setelah martabat Raja-Raja Melayu sebagai pelindung Islam dan payung budaya, diancam kuasa NWO seperti di zaman Malayan Union pada tahun 1946; atau sesudah pertumpahan darah seperti akibat konflik kaum pada 13 Mei 1969?
Segala-galanya terserah kepada Melayu, baik di mana mereka berada; waimah dengan kelompok mana mereka terikat. [Tunggu huraiannya minggu hadapan]
[Datuk Dr Ruhanie Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong Johor (1990-2003), adalah Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu (POM) yang memfokus kepada keselamatan politik Melayu dan keselamatan jati diri nasional dalam Perlembagaan Persekutuan]