
KUALA LUMPUR, 11 Jul 25 – Perkasa menyatakan bantahan keras terhadap usaha membuka cawangan restoran dengan konsep pelayan lelaki separuh bogel dari Thailand di negara ini.
Ketua Penerangan Perkasa Irwan Fahmi Ideris menegaskan, cadangan itu adalah penghinaan terhadap budaya,nilai moral, dan sensitiviti agama di negara ini yang majoriti rakyatnya orang Melayu beragama Islam.
“Perkasa menolak sepenuhnya konsep hiburan yang menjurus kepada unsur lucah dan erotik yang bertentangan dengan budaya ketimuran dan juga ada Masyarakat di Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kementerian serta agensi terlibat tegasnya tidak seharusnya meluluskan sebarang lesen untuk restoran itu dari beroperasi.
“Dalam masa yang sama juga Perkasa menggesa dan mendesak Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia( Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri memantau aktiviti yang tidak bermoral dan mengambil tindakan mengikut ruang undang-undang yang di sediakan,” katanya.
Perkasa juga katanya mengingatkan kerajaan supaya tidak tunduk kepada tekanan budaya liberal dan kebebasan keterlaluan yang bakal merosakkan struktur moral generasi muda yang ada di Malaysia.
“Perkasa tidak menolak sebarang kemajuan dan kepelbagaian, namun ia mestilah berpaksikan nilai nilai yang selari dengan Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Ini adalah Malaysia dan bukannya Bangkok. Segala budaya negatif dari negara luar tidak wajar di beri tempat dalam negara Ini,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.