Pertelagahan Dalaman Tunjuk Muhyiddin Hilang Kawalan – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 30 Sep 25 – Pertelagahan terbuka antara pemimpin Bersatu semakin menyerlahkan kelemahan kepimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengawal parti, kata penganalisis politik.

Laporan Free Malaysia Today (FMT) menyebut, konflik dalaman kini bukan lagi sekadar pergeseran kecil, sebaliknya beralih kepada ‘perang terbuka’ antara kumpulan berpengaruh dalam parti itu.

Ketegangan itu tercetus selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerang Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan mendakwa berlaku ugutan terhadap ketua bahagian yang terlibat dalam usaha mengumpul tandatangan berkaitan isu kepimpinan.

Penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Syaza Shukri berkata, situasi berpuak dalam Bersatu semakin parah, manakala Muhyiddin gagal muncul sebagai tokoh penyelesai.

“Ini bukan lagi masalah kecil, tetapi pertarungan terbuka antara pemimpin utama. Hanya satu pihak perlu mengalah untuk meredakan keadaan,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi penganalisis dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan, berpendapat Muhyiddin sendiri kini hilang kawalan terhadap parti.

“Projek untuk menekan beliau berundur semakin mendapat momentum. Sepatutnya beliau mengawal keadaan, tetapi kini kelihatan sudah tidak mampu,” katanya.

Wan Saiful dalam kenyataannya turut mengungkit isu lama membabitkan kontroversi video yang pernah dikaitkan dengan Azmin pada 2019, sekali gus menambah ketegangan dalam parti. Beliau menegaskan, Azmin tidak layak memimpin selagi isu tersebut tidak diselesaikan.

Syaza berkata konflik terbuka Bersatu hanya menguntungkan PAS, yang dilihat lebih bersatu dan kini berpeluang mendesak agar kerusi pengerusi Perikatan Nasional (PN) diserahkan kepada parti itu.

“Bersatu gagal menyelesaikan masalah dalaman, bagaimana mahu memimpin PN, apatah lagi negara?” katanya dipetik FMT.

Azmi menambah, tuntutan PAS untuk calon perdana menteri bawah 70 tahun jelas isyarat menolak Muhyiddin.

“Zaman Muhyiddin sudah hampir berakhir,” ujarnya.

Penganalisis berpandangan, pelan peralihan kepimpinan adalah langkah terbaik jika Bersatu mahu mengekalkan pengaruh dalam PN dan mengelak perpecahan lebih serius. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share